EXCO KERAJAAN JOHOR MELAWAT MANGSA RIBUT


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah melawat lokasi kejadian ribut yang melanda Kampung Melayu Majidee, dekat Johor Bahru, petang tadi | Sumber Gambar Facebook Hairi Md Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Kejadian ribut melanda Kampung Melayu Majidee, dekat Johor Bahru, petang tadi, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah.

 

EXCO Kerajaan Johor itu segera ke lokasi sejurus menerima laporan berhubung kejadian ketika sedang mengadakan pertemuan bersama agensi di bawah portfolio belia.

 

“Saya sempat ke beberapa kediaman terjejas di Jalan Sahabat, Jalan Muafakat, dan Jalan Rahmat melihat sendiri rumah yang teruk terkesan dengan kejadian ribut.

 

“Ada juga yang hilang bumbung sehingga rumah dimasuki air,” kata beliau yang mengadakan lawatan bersama Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed; wakil Pusat Khidmat Parlimen Johor Bahru, Ketua Kampung dan pemimpin masyarakat.

 

Mohd Hairi berkata, pusat gerakan juga dibuka di Dewan Kampung Melayu di Jalan Merdeka, dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah Johor Bahru bagi mengumpul maklumat mangsa.

 

Selain itu, katanya, mesyuarat penyelarasan turut dilaksanakan ‘on the spot’ dipengerusikan Pegawai Daerah bersamanya dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dato’ Mohd Noorazam Osman serta semua agensi berkaitan.

 

“Kita sama-sama doakan semua urusan mangsa-mangsa yang terkesan ini dipermudahkan dan bantuan-bantuan segera dapat diberikan bagi meringankan bebanan yang ditanggung,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor