KERAJAAN JOHOR BERSEDIA LAKUKAN TERBAIK UNTUK PARLIMEN TEBRAU


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi beramah mesra bersama masyarakat di Parlimen Tebrau | Sumber Facebook Onn Hafiz

 

ISKANDAR PUTERI — Sejumlah besar peruntukan dan bantuan diumumkan ketika lawatan kerja Menteri Besar Johor ke Parlimen Tebrau.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan dan bantuan tersebut bagi kemudahan serta manfaat penduduk di parlimen tersebut.

“RM500,000 bagi membina ban atau benteng penahan banjir sepanjang satu kilometer di Kampung Paya Kenangan menerusi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); RM500,000 untuk menyelesaikan kerja pembinaan Dewan Kuil Sri Maha Muniswarar.

“(Selain itu) meneliti isu tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tebrau; RM260,000 daripada Kementerian Perpaduan Negara untuk pembangunan tiga Kampung Baru Cina; RM1 juta setiap satu bagi menaiktaraf dewan raya Kampung Baru Pandan, Puteri Wangsa dan Desa Cemerlang.

“RM1.5 juta setiap satu bagi menaiktaraf dewan raya Pelangi Indah dan Bandar Tiram; RM1.5 juta untuk projek tebatan banjir Taman Gaya; RM1.5 juta untuk menaiktaraf parit utama di Ulu Tiram; RM3 juta untuk menaiktaraf kolam tadahan dan parit utama Jalan Austin Perdana di Taman Setia Indah, Desa Tebrau serta RM3 juta untuk menaiktaraf landskap persimpangan bertingkat Ulu Tiram,” katanya.

Onn Hafiz berkata, sebagai sebuah penempatan bandar yang penting, kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik bagi menyediakan infrastruktur dan utiliti asas terkini kepada penduduk di Parlimen Tebrau.

“Semoga Johor akan terus mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan lebih banyak peruntukan infrastruktur bagi meningkatkan lagi kesejahteraan hidup masyarakat bandar di Parlimen Tebrau pada masa akan datang,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor