KERAJAAN JOHOR PASTIKAN KESESAKAN DI BSI, KSAB DIELAKKAN UNTUK RAKYAT PULANG MENGUNDI


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh | Sumber Facebook Fazli Salleh

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor berusaha memastikan kesesakan di dua pintu masuk negara, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dapat dielakkan ketika hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU-15).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, langkah itu bagi memberikan keselesaan kepada rakyat Malaysia di Singapura untuk pulang mengundi.

“Kerajaan negeri komited dalam memastikan rakyat negara Malaysia yang berada di singapura dapat pulang mengundi dalam keadaan selesa dan selamat.

“Kami cuba sedaya upaya untuk mengelakkan kesesakan di pintu masuk BSI dan KSAB. Semoga langkah yang telah disusun ini mampu untuk mengurangkan kesesakan di pintu masuk sempadan dan rakyat dapat menunaikan tanggungjawab mereka untuk pulang mengundi,” katanya sempena Mesyuarat Penyelarasan BSI bersama jabatan-jabatan terlibat, semalam.

Mohamad Fazli berkata, dalam mesyuarat itu pelbagai perkara dibincangkan melibatkan tindakan dan perancangan awal jabatan berkaitan bagi memudahkan pergerakan rakyat Malaysia bekerja di Singapura pulang mengundi.

“Diharapkan hasil daripada perbincangan ini, kerja keras serta komitmen dari semua pihak yang terlibat dapat melancarkan perjalanan rakyat Malaysia untuk pulang mengundi,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor