KERAJAAN JOHOR IKTIRAF, HARGAI SUMBANGAN NELAYAN MERSING


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar ketika berucap pada majlis | Sumber Facebook Raven Kumar Krishnasamy.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor sentiasa komited memperjuangkan agenda jaminan bekalan makanan di negeri ini, dengan memastikan bekalan mencukupi terutama dalam sektor perikanan.

Bagi menjayakan inisiatif tersebut, kerajaan negeri mengiktiraf dan menghargai peranan para nelayan di Mersing sekali gus menyampaikan sumbangan kepada kumpulan tersebut, semalam.

Hadir menyempurnakan sumbangan Bantuan Kasih Bangsa Johor Daerah Mersing bagi komuniti nelayan di daerah berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh itu berkata, kepentingan sektor perikanan dan sumbangan terhadap aspek ekonomi di Johor, tidak dapat dinafikan.

“Kekayaan sumber perikanan ini merupakan nadi dalam membekal sumber protein makanan, ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat negeri Johor khususnya.

“Selaras dengan wawasan Kerajaan Negeri Johor mengambil berat mengenai mempertingkatkan jaminan bekalan makanan Johor dan juga menghargai sumbangan nelayan, seramai 359 nelayan laut yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Johor dan seramai 21 orang nelayan darat dari kalangan penduduk Kampung Orang Asli di daerah Mersing menerima bantuan bersempena Bantuan Kasih Bangsa Johor,” katanya.

Raven Kumar berkata, program bantuan itu merupakan keprihatinan kerajaan negeri yang berterusan kepada komuniti nelayan terutama di Mersing.

“Ini bagi memastikan kelangsungan hidup semua lapisan masyarakat majoriti atau pun minoriti diambil perhatian dan merupakan nadi kepada keselamatan makanan di Negeri Johor,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor