KERAJAAN JOHOR JUNJUNG KASIH KURNIAAN KELUARGA DIRAJA JOHOR


Kerajaan Johor menjunjung kasih kurniaan sumbangan Keluarga DiRaja Johor kepada Bangsa Johor / Gambar Ihsan FB Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor hari ini merafak sembah menjunjung seting-tinggi kasih kepada Keluarga DiRaja Johor atas kurniaan sumbangan kepada seluruh Bangsa Johor terutama ketika tempoh pandemik Covid-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kurniaan sumbangan daripada pihak Keluarga DiRaja Johor telah banyak meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat jelata.

“Untuk makluman semua, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, Keluarga DiRaja Johor telah menyumbang sebanyak RM123 juta merangkumi pelbagai sumbangan yang telah membantu kehidupan seramai 1.6 juta Bangsa Johor.

“Patik mewakili Bangsa Johor merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Sultan Johor bersama DYMM Permaisuri Johor, DYAM Tunku Mahkota Johor dan Keluarga DiRaja Johor di atas kurniaan yang telah diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Pembentangan Belanjawan Negeri Johor Bagi Tahun 2023 yang bertemakan Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Onn Hafiz berkata, beliau yakin segala kurniaan berkenaan pastinya dapat meringankan beban golongan yang memerlukan dan membuktikan sesungguhnya Raja, pemimpin dan rakyat berpisah tiada.

Katanya, selain itu kerajaan negeri juga turut melaksanakan pelbagai pakej dan inisiatif bantuan bagi membantu rakyat yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Semasa pandemik Covid-19, kerajaan negeri telah membelanjakan RM494.51 juta bagi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0, 2.0 dan 3.0.

“Kerajaan negeri juga melalui Pakej Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) telah menyalurkan RM149.07 juta yang telah memberi manfaat kepada 3.69 juta penerima di negeri ini,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor