KERAJAAN JOHOR UMUM BANTUAN KHAS KEWANGAN SEBULAN GAJI


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Tahun 2022 sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemberian bantuan khas itu untuk kakitangan kerajaan negeri dan kakitangan awam persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri melibatkan keseluruhan 13,893 orang.

Menurut beliau lagi, bantuan khas itu akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada akhir bulan ini dan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun 2023.

“Bantuan khas kewangan ini juga akan dipanjangkan kepada semua guru KAFA, petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru Tadika Islam Johor (TAJ).

“Mudah-mudahan sumbangan ini dapat memberi motivasi dalam kalangan penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023, hari ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan penjawat awam dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan.

“Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan rakyat mendapat manfaat yang maksimum daripada dasar-dasar kerajaan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor