KERAJAAN JOHOR KOMITED PASTIKAN PEMULIHARAAN SUMBER DAN BIODIVERSITI PERIKANAN DICAPAI


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip mendengar penerangan mengenai perbezaan antara tukun konservasi dan unjam | Sumber Facebook Dato’ Zahari Sarip

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor sentiasa komited memastikan matlamat untuk melestarikan alam sekitar dan pemuliharaan sumber serta biodiversiti perikanan dapat dicapai.

Bagi tujuan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, sebanyak sembilan unit tukun konservasi bernilai RM280,000 dilabuhkan sepanjang tahun ini, di perairan Johor.

Selain itu, sebanyak 200 unit unjam bernilai RM200,000 turut dilabuhkan bagi tempoh yang sama.

“Semenjak tahun 2007, sebanyak 130 unit dengan nilai RM5.1 juta telah dilabuhkan di perairan Johor.

“Unjam dan tukun adalah usaha kerajaan bagi meningkatkan sumber perikanan bagi tujuan konservasi dan sekuriti makanan negara,” katanya sempena Program Melabuh Tukun Konservasi Negeri Johor di Mersing, Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, fungsi tukun konservasi adalah untuk mencegah pencerobohan nelayan pukat tunda selain tempat pengumpulan ikan.

Katanya, manakala fungsi unjam pula sebagai peranti pengumpulan ikan bagi membantu operasi menangkap ikan dan perikanan rekreasi.

“Set unjam ini akan dilabuhkan di tempat yang sesuai dan luar daripada dua batu nautika kawasan taman laut,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor