KERAJAAN JOHOR SEDIA TINGKAT KUALITI PENDIDIKAN


YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri menyahut titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar Johor menjadi negeri pertama mengubah dan memperbaharui silibus mata pelajaran di sekolah sekiranya tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional demi melahirkan generasi masa hadapan yang berdaya saing.

 

Selain menjunjung kasih keprihatinan Baginda terhadap pendidikan berkualiti kepada Bangsa Johor, Kerajaan Negeri menzahirkan kesediaan untuk melihat kembali langkah menambah baik silibus mata pelajaran sedia ada terutama bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

 

Malah pencarian silibus mata pelajaran baharu yang relevan dengan peredaran zaman akan mula dilaksanakan sebelum dibawa kepada Kementerian Pendidikan untuk dijadikan sebagai mata pelajaran tambahan yang terbaik dan bersesuaian dengan pelajar sekolah di negeri ini.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga komited merealisasikan hasrat Pemangku Sultan Johor supaya setiap anak Johor berjaya menamatkan pengajian sehingga institusi pendidikan tinggi (IPT) dan bukan hanya setakat di peringkat sekolah menengah.

 

Antara usaha yang akan dilaksanakan adalah menjalin kerjasama erat bersama institusi pendidikan yang terdapat di Negeri Johor termasuk teknikal dan vokasional bagi membuka peluang menyambung pengajian sekurang-kurangnya di peringkat diploma.

 

Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menjunjung kasih titah sulung DYAM Pemangku Sultan Johor sempena Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor