KERAJAAN JOHOR TERUS KOMITED SELESAIKAN PROJEK PERUMAHAN SAKIT DAN TERBENGKALAI


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, sebanyak 30 projek sakit dan tujuh projek terbengkalai dikenal pasti dan akan diselesaikan demi kesejahteraan rakyat. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor beriltizam menyelesaikan projek perumahan dikategorikan sakit dan terbengkalai di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, sebanyak 30 projek sakit dan tujuh projek terbengkalai dikenal pasti dan akan diselesaikan demi kesejahteraan rakyat.

 

Menurutnya, Kerajaan Negeri sudah berjaya menyelesaikan tiga projek sakit dan satu projek terbengkalai pada tahun ini.

 

“Untuk projek sakit, ada baki 30 manakala projek terbengkalai tinggal lagi tujuh. Jadi, tahun depan kita sasarkan lagi enam projek untuk diselesaikan.

 

“Bayangkan, mereka terpaksa bayar sewa dan bayar juga kos pembiayaan rumah yang dia beli. Maka, isu ini sebenarnya satu bentuk penganiayaan kepada pembeli-pembeli rumah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di projek rumah pangsa terbengkalai Taman Desa Kempas, di sini, pada Selasa.

 

Bercakap mengenai projek rumah pangsa terbengkalai Taman Desa Kempas, Mohd Jafni berkata, perumahan terbabit bakal menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sebelum 15 Julai ini.

 

“Walaupun tanggungjawab ini (penyelesaian) bukan di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri, tetapi kami sedia untuk membantu.

 

“Kerajaan Negeri akan panggil semua agensi yang terlibat seperti Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk selesaikan secara bersama,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor