KERAJAAN NEGERI BINCANG BAGI MENERUSKAN KASIH SURI ASPIRASI KELUARGA JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail mengadakan perbincangan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri berhasrat meneruskan Program Kasih Suri Aspirasi Keluarga Johor untuk manfaat peserta eKasih khusus di kalangan golongan miskin dan miskin tegar bagi tahun 2023.

 

Bagi tujuan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail telah mengadakan perbincangan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).

 

Khairin-Nisa berkata, perbincangan bagi inisiatif dan usahasama oleh KWSP dan YPKDT bagi meneruskan program itu yang dapat memanfaatkan 12,773 peserta eKasih 2023 terutama kepada mereka berumur antara 40 sehingga 55 tahun.

 

“Untuk makluman, semua ahli yang layak iaitu mempunyai simpanan RM10,000 dan kurang di dalam Akaun Satu, secara automatik akan layak menerima tambahan caruman tanpa mendaftar serta menerima Tambahan Caruman dari kerajaan sebanyak RM500 secara one-off,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Selasa.

 

Khairin-Nisa berkata, usaha berkenaan merupakan salah satu langkah dari kerajaan bagi membasmi miskin tegar secara langsung memberikan manfaat kepada golongan terbabit.

 

“Diharapkan dengan usahasama pelbagai pihak ini sama ada dari kerajaan ataupun bukan dapat mencapai sasaran sifar miskin tegar menjelang 2025,” katanya.

 

Program Kasih Suri Aspirasi Keluarga Johor merupakan inisiatif pengukuhan institusi kekeluargaan dan pemerkasaan wanita yang dijangka memanfaatkan peserta i-Suri berdaftar dibawah eKasih dalam usaha memberikan kesedaran berkaitan penyimpanan persaraan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor