RANHILL SAJ KOMITED BEKAL AIR BERSIH DENGAN SEMPURNA AIDILADHA INI


Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan antara langkah yang diaktifkan adalah memastikan anggota Ranhill SAJ kekal bersedia bertugas dalam tempoh 24 jam. | Foto ihsan FB Ranhill SAJ

 

ISKANDAR PUTERI — Ranhill SAJ Sdn. Bhd. mengaktifkan pelan tindakan bersepadu bagi memantau secara berterusan dan bertindak balas dengan segera gangguan bekalan air bersih terawat menjelang Aidiladha ini.

 

Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan antara langkah yang diaktifkan adalah memastikan anggota Ranhill SAJ kekal bersedia bertugas dalam tempoh 24 jam.

 

Selain itu, mengaktifkan 28 unit lori tangki di seluruh Johor, menempatkan tangki air statik di lokasi bersesuaian terutama penghujung sistem.

 

Ranhill SAJ juga mengaktifkan tangki statik mudah alih berkapasiti 1 meter padu (m3) dan menyediakan 10 unit tambahan lori tangki jumbo.

 

“Inisiatif ini juga tidak terhad setakat itu sahaja, malahan pihak Ranhill SAJ turut melaksanakan inisiatif proaktif dalam aspek operasi dengan mengenal pasti ‘hotspot’ kawasan yang menjadi tumpuan, mengaktifkan operasi ‘in-line injection’ menggunakan lori tangki di lokasi yang telah dikenal pasti dan meningkatkan pengeluaran air bersih pada tahap maksima.

 

“Di samping itu juga, Ranhill SAJ akan memberi keutamaan dengan memastikan rumah sakit atau hospital, pusat dialisis, rumah ibadat dan pengurusan jenazah tiada gangguan bekalan air,” jelas syarikat berkenaan.

 

Ranhill SAJ turut memberitahu langkah proaktif itu dilaksanakan bagi mengimbangi permintaan bekalan air bersih yang dijangka melebihi kebiasaan serta kawasan terjejas seperti Aidilfitri lalu.

 

Kenyataan itu juga memaklumkan Ranhill SAJ mengambil langkah menangguhkan sementara kerja penyelenggaraan yang boleh mengganggu operasi Loji Rawatan Air (LRA) serta sistem agihan bagi memberi fokus kepada membekalkan air bersih kepada pengguna dengan sempurna.

 

“Bagi tempoh sebelum pelan bersepadu ini diaktifkan, pihak Ranhill SAJ terus melaksanakan kerja penyelenggaraan berterusan secara bersepadu melibatkan aset dan infrastruktur air seperti pemantauan paras kolam, melakukan servis injap kawalan tekanan dan memastikan rumah-rumah pam dalam keadaan baik terutamanya menjelang perayaan.

 

“Langkah ini amat relevan untuk dilakukan bagi memastikan sistem perbekalan air bersih berada pada tahap terbaik, bersedia dan berfungsi dengan baik,” jelas syarikat itu.

 

Ranhill SAJ menasihatkan orang ramai supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang musim perayaan dan melakukan persediaan awal dengan menyimpan air secukupnya dengan keupayaan bertahan selama 24 jam bagi menghadapi gangguan bersifat luar jangka.

 

“Oleh itu, kerjasama daripada semua pelanggan adalah sangat diharapkan agar melaporkan sebarang insiden paip pecah kepada pihak Ranhill SAJ supaya tindakan segera dapat diambil dan diingatkan juga bahawa tempoh pemulihan setiap kawasan gangguan berbeza mengikut jarak dan ketinggian kawasan.

 

“Untuk sebarang pertanyaan atau aduan boleh terus menghubungi pihak Ranhill SAJ di talian mesra 1800 84 7474 atau melalui sistem pesanan ringkas (SMS) di nombor 63001 atau emel customer.care@ranhill.com.my dan laman sesawang rasmi www.ranhillsaj.com.my yang beroperasi 24 jam setiap hari,” jelas syarikat berkenaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor