WAD HOSPITAL MERSING AKAN DINAIK TARAF


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kerja naik taraf wad itu dijangka siap pada bulan Januari tahun depan. | Foto ihsan FB Ah Soon

 

ISKANDAR PUTERI — Sebuah wad di Hospital Mersing akan dinaik taraf pada bulan depan bagi menjamin keselesaan pesakit di daerah berkenaan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kerja naik taraf wad itu dijangka siap pada bulan Januari tahun depan.

 

“Hospital Mersing mempunyai 85 buah katil, tetapi hanya 70 boleh digunakan kerana salah satu wad akan dinaik taraf awal bulan Julai.

 

“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan sistem kesihatan di negeri ini terutamanya melibatkan pembangunan dan infrastruktur unit kesihatan,” katanya di laman Facebook.

 

Terdahulu, Tian Soon mengadakan lawatan ke Hospital Mersing yang telah dibina 106 tahun lepas sebelum berpindah ke tapak sedia ada sekitar 1950-an.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar.

 

Dalam perkembangan sama, Tian Soon turut mengadakan tinjauan ke Klinik Kesihatan (KK) Mersing Kanan.

 

Menurut beliau, fasiliti kesihatan tersebut menerima peruntukan RM300,000 bagi menaik taraf fasiliti seperti makmal serta perparitan stor perubatan.

 

“Walaupun klinik ini kecil, tetapi operasinya sangat lancar dan mudah,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor