KERAJAAN NEGERI CAKNA PEMBANGUNAN SAHSIAH BELIA YANG PROGRESIF


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata tema sambutan Hari Belia Negara tahun ini iaitu #IniMasaKita bertepatan dengan kebangkitan belia berfokus pada pembangunan sahsiah diri. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Tanggal 15 Mei setiap tahun merupakan tarikh keramat yang dikhaskan untuk mengiktiraf peranan dan mengangkat martabat yang didedikasikan kepada golongan belia.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata tema sambutan Hari Belia Negara tahun ini iaitu #IniMasaKita bertepatan dengan kebangkitan belia yang berfokuskan kepada pembangunan sahsiah diri.

 

“Masih ada segelintir masyarakat atau persepsi pemikiran yang melabelkan belia di Malaysia ini semakin “lesu” dan tidak mempunyai jati diri yang kuat.

 

“Oleh yang demikian, buktikanlah kepada Malaysia dan dunia wahai orang muda dan belia-belia, bahawa anda semua mampu membawa paradigma baharu di luar kotak!,” gesanya, hari ini.

 

Selain itu, Mohd Hairi berkata, golongan belia yang diraikan hari ini perlu memainkan peranan yang amat penting dalam menjadi tonggak dan pencorak kegemilangan negara pada masa akan datang.

 

Kumpulan yang bakal mewarisi kepimpinan negeri ini juga haruslah sentiasa menyemai sifat progresif dalam menyerlahkan keterlibatan dalam pentadbiran serta pembangunan negara dan negeri amnya, ke arah yang lebih kondusif.

 

“Saya selaku EXCO menjaga portfolio Belia dan Sukan Negeri Johor sudah pasti meletakkan agenda pembangunan belia sebagai satu keutamaan dan akan memastikan belia di Johor dicorak dan dibentuk mengikut keperluan semasa menggunakan ‘Cara Johor'”.

 

“InsyaAllah sama-sama kita jayakan usaha ini demi memastikan Johor tidak ketandusan pewaris belia yang berkualiti serta mampu membawa nama Johor ke persada dunia,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor