KERAJAAN NEGERI IKHTIAR ATASI KEKURANGAN GURU SAKJ


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan pengisian jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG29 dan GD41 sentiasa dalam perhatian dan tindakan Kerajaan Negeri. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Johor memandang serius isu kekurangan guru di Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) atas pelbagai faktor yang boleh merencatkan pembelajaran murid sekiranya tidak diatasi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid ketika menjawab soalan Abdul Aziz Talib (Ahli Dewan Negeri Maharani), semalam, memaklumkan pengisian jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG29 dan GD41 sentiasa dalam perhatian dan tindakan Kerajaan Negeri.

 

Untuk rekod, kekosongan guru agama setakat ini adalah seramai 658 waran bagi Gred DG29 dan 74 waran bagi Gred DG41 di mana permohonan kepada SUK Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) untuk membuat lantikan telah dibuat pada Disember 2022.

 

Satu mesyuarat telah diadakan pada Januari lalu, dan dicadangkan lantikan secara tetap dan kontrak secara berperingkat dibuat bagi mengatasi masalah kekosongan guru agama bagi kedua-dua gred.

 

Susulan daripada itu, Kerajaan Negeri bakal melantik 300 guru Gred DG29 berstatus tetap dan akan diproses penempatannya pada tahun depan, selain 295 guru Gred DG29 berstatus kontrak untuk dilantik juga pada tahun depan.

 

Sementara guru Gred DG41 pula, proses temuduga dan penempatan bakal dilaksanakan pada tahun depan untuk mengisi kekosongan berjumlah 57 waran, manakala guru kontrak akan diberikan keutamaan serta pertimbangan untuk diserapkan jika terdapat kekosongan waran tetap.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor