KERAJAAN NEGERI LANCAR ‘JOHOR GREEN DEAL’ DI APCW 2023
JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor akan melancarkan rangka kerja inisiatif hijau ‘Johor Green Deal’ pada persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023 pada November ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelancaran tersebut sejajar dengan pelan kelestarian Johor untuk masa depan negeri yang lebih hijau.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga kini bekerjasama rapat dengan Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura, Dato’ Ir. Hasni Mohammad bagi membangunkan Pusat Kelestarian Johor.
“‘Johor Green Deal’ akan menjadi rangka kerja (Kerajaan Negeri) untuk masa depan (Johor) yang lebih baik. Ia akan menjadi satu pelan untuk kita laksanakan seperti mana pelan membersihkan Sungai Skudai.
“Saya fikir untuk inisiatif perubahan iklim, mesti ada perancangan yang jelas dari segi usaha untuk kita laksanakan pada tahun-tahun mendatang,” katanya pada sidang media APCW 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.
Onn Hafiz berkata, penganjuran APCW 2023 di negeri ini, bakal menjadi peluang kepada Johor menimba ilmu dan pengalaman daripada negara-negara lain yang lebih berpengalaman dalam isu perubahan iklim.
“Ini supaya kita mendapat teknologi dan maklumat terkini serta kita boleh berkolaborasi untuk menangani isu-isu seperti banjir dan sebagainya.
“Kita tahu di peringkat Kerajaan Persekutuan banyak projek tebatan banjir telah diluluskan bagi mengurangkan impak daripada banjir, tetapi adakah itu mencukupi? Jadi, APCW menjadi satu peluang untuk kita (meraih ilmu) membuat penambahbaikan,” katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan akan berkongsikan usaha Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana yang terdiri dari kalangan wakil rakyat merentasi parti politik di APCW 2023.
Persidangan APCW 2023 anjuran Kerajaan Negeri dan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) itu bakal menyaksikan penyertaan kira-kira 2,000 peserta dari 150 negara.
Johor melakar sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai tuan rumah persidangan perubahan iklim ternama itu, yang menghimpunkan pemimpin global dan pihak berkepentingan.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor