JOHOR TUBUH JAWATANKUASA BERTINDAK RKK SUNGAI SKUDAI


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, jawatankuasa terbabit juga berperanan menyusun semula penempatan kira-kira 1,000 rumah setinggan di pinggir sepanjang jajaran sungai. | Foto MDJ, Wira Anggara

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Skudai bagi menangani masalah pencemaran di sungai berkenaan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, jawatankuasa terbabit juga berperanan menyusun semula penempatan kira-kira 1,000 rumah setinggan di pinggir sepanjang jajaran sungai.

 

“Jawatankuasa ini merupakan satu jawatankuasa menyeluruh yang akan bermesyuarat sebulan sekali dan gerak kerja sebenarnya sehingga 2030, tetapi Menteri Besar minta kita pendekkan sehingga lima tahun. Kita merancang bagaimana untuk membina perumahan baharu dengan melibatkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

 

“Dia (RKK Sungai Skudai) bukan sahaja melibatkan pembersihan sungai, tetapi juga pembersihan kawasan pembuangan sampah haram termasuk mengindahkan pinggir sungai untuk dijadikan kawasan pejalan kaki dan landskap baharu,” katanya kepada pemberita selepas program Johor Bersih @ Sungai Skudai di Taman Impian Emas, di sini.

 

Mengulas mengenai RKK Sungai Skudai, Mohd Jafni berkata, rancangan berkenaan sudah diwartakan selepas mendapat kelulusan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

 

“Semua perancangan untuk menambah baik kawasan Sungai Skudai sudah ada di dalam RKK. Jadi, bila dah ada RKK ini, Kerajaan Persekutuan khasnya menerusi Kementerian Kewangan boleh menyalurkan peruntukan berpandukan kepada RKK yang telah dibangunkan.

 

“RKK ini telah melibatkan satu badan profesional yang sudah menjalankan kajian untuk membangunkan kawasan Sungai Skudai bermula dari Hulu Sedenak sampai ke sini dan ia sudah lengkap,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor