TEKAD JADIKAN SUNGAI SKUDAI, SUNGAI KELAS 2


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di Sungai Skudai. | Foto MDJ, Wira Anggara

 

JOHOR BAHRU — Bangkai ayam, ikan dan sampah buangan plastik menjadi antara ‘isi kandungan’ sisa pepejal yang ditemui sepanjang kerja pembersihan yang dilakukan sepanjang kerja pembersihan yang dilakukan di sepanjang Sungai Skudai, pagi tadi.

 

Keadaan itu, bagaimanapun tidak sesekali melemahkan hasrat Kerajaan Negeri untuk terus memasang impian untuk menjadikan sungai berkenaan berada pada Kelas Kedua, sekali gus menjadi salah satu aspirasi penting dalam agenda menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tanpa rasa jemu dan putus asa, Kerajaan Johor bertekad untuk meneruskan usaha membersihkan Sungai Skudai selain menjadikannya sebagai antara agenda penting dalam menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang 2030.

 

Katanya, ia termasuklah pendekatan yang lebih agresif menerusi 10 gerak kerja yang membabitkan beberapa tindakan antaranya penguatkuasaan tapak pembuangan sampah haram, pembersihan fizikal Sungai Skudai secara sistem mekanikal serta cadangan membina perangkap sampah dan penguatkuasaan pelepasan air sisa.

 

“Terdapat 10 projek berimpak tinggi di dalam Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Skudai di mana (tindakan) penguatkuasaan akan dibuat dengan lebih agresif selepas ini.

 

“Saya sudah maklumkan kepada Datuk-Datuk Bandar dan EXCO-EXCO berkenaan untuk memastikan siapa yang membuang sampah akan ditangkap dan didenda. Jadi, ini saya bagi notis (peringatan) awal kepada masyarakat secara keseluruhan di mana kita akan lebih agresif selepas ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program Johor Bersih @ Sungai Skudai di Taman Impian Emas, dekat Skudai hari ini.

 

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar, K. Raven Kumar dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan & Perpaduan, Ling Tian Soon.

 

Onn Hafiz berkata, justeru pihaknya yakin menerusi 10 gerak kerja ini akan dapat memungkinkan segala usaha yang dirancang akan dapat merealisasikan impian untuk melihat Sungai Skudai yang lebih lestari kelak.

 

“Ia (Sungai Skudai) akan menjadi salah satu sungai contoh bukan sahaja di Negeri Johor tetapi untuk Malaysia secara keseluruhan. Saya lihat kita boleh capai 10 gerak kerja yang kita kongsi tadi dengan kerjasama semua pihak terutamanya masyarakat.

 

“Masyarakat perlu sedar bahawa sungai-sungai ini adalah aset-aset Negeri Johor dan perlu dibersihkan secara bersama. Kita janganlah sesuka hati buang sampah kerana ia ada kesan… sampah yang kita kutip tadi sangat-sangat mendukacitakan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor