KERAJAAN NEGERI, LPNM KERJASAMA BANGUNKAN INDUSTRI NANAS


Perbincangan antara Kerajaan Negeri bersama LPNM dan pemain industri bagi membincangkan pembangunan industri nanas di Johor. | Foto Facebook Zahari Sarip

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri sedia bekerjasama rapat dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi membangunkan industri nanas agar lebih produktif, berdaya saing dan mampu menjana pendapatan lebih tinggi kepada petani.

 

Kerjasama yang turut melibatkan pengusaha nanas di negeri ini sebagai menyahut saranan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor itu tidak hanya tertumpu kepada pengeluaran hasil tanaman sahaja tetapi melibatkan aspek agropelancongan dan industri asas tani.

 

Dalam Belanjawan Johor 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM500,000 untuk insentif bantuan benih nanas MD2, pembangunan infrastruktur ladang, penyediaan latihan serta promosi bagi menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang pertanian nanas.

 

Selain itu, peruntukan signifikan berkenaan turut menterjemahkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkasa kegemilangan Johor sebagai pengeluar utama nanas di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Untuk rekod, Johor merupakan pengeluar terbesar nanas di Malaysia dengan pengeluaran lebih 280,000 tan metrik setiap tahun dan nilai hasil lebih RM680 juta merangkumi 63.7 peratus daripada jumlah pengeluaran nanas negara.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor mengadakan perbincangan bersama LPNM dan pemain industri bagi membincangkan pembangunan industri nanas di Johor.

 

#AgendaKeterjaminanMakanan
#IndustriNanasJohor
#Agropelancongan
#IndustriAsasTani
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor