KERAJAAN NEGERI PANTAU SECARA AGRESIF ISU PERUMAHAN, PBT DI PENGERANG


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor semasa membuat lawatan ke tapak projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Pengerang, Taman YPJ Punggai dan Rumah Transit Taman Bayu Damai. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor melakukan pemantauan secara khusus berkaitan isu melibatkan perumahan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan Pengerang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) mengenai isu-isu di kawasan PBT berkenaan.

 

“Hari ini saya melaksanakan lawatan kerja ke Pengerang. Lawatan kerja kali ini adalah khusus untuk memantau sendiri secara agresif semua isu yang melibatkan bidang PBT dan perumahan di kawasan Pengerang.

 

“Pihak MPP telah memberi taklimat berkenaan beberapa isu kritikal PBT yang memerlukan perhatian dan pemantauan agresif termasuk hotspot banjir. MPP akan sentiasa mengemaskini setiap gerak kerja yang dilakukan kepada pihak Kerajaan Negeri,” katanya pada Isnin.

 

Selesai mendapatkan taklimat daripada MPP, beliau mengadakan lawatan ke tapak projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Pengerang, Taman YPJ Punggai dan Rumah Transit Taman Bayu Damai.

 

Mohd Jafni berkata, projek PPR melibatkan 300 unit yang mula dibina pada tahun 2019 dan sepatutnya siap pada 2021 itu mengalami kelewatan atas faktor pandemik COVID-19 serta kekangan teknikal.

 

“Hasil lawatan tapak dan mesyuarat penyelarasan sebentar tadi, saya akan menubuhkan ‘taskforce’ khas di bawah penyelarasan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) bagi memastikan segala kekangan teknikal bersama semua agensi yang terlibat.

 

“(Penubuhan taskforce) agar PPR ini dapat disiapkan segera dan memberi manfaat kepada rakyat Johor khususnya mereka yang berada dalam kawasan Pengerang. Insya-Allah, mesyuarat penyelarasan akan diadakan sebelum hujung bulan ini,” katanya.

 

Mengenai Taman YPJ Punggai, beliau memberitahu projek perumahan baharu yang menyediakan 500 unit kediaman itu juga mengalami kelewatan untuk siap atas beberapa faktor termasuk pandemik COVID-19.

 

“Pihak YPJ sedang menyiapkan secara agresif projek ini agar boleh dimiliki oleh penduduk di kawasan Pengerang dan sekitar.

 

“Pihak YPJ juga masih membuka permohonan untuk penjawat awam dan warga awam untuk membeli unit rumah di Taman ini. Saya sendiri telah melihat ‘progress’ kerja rumah ini berjalan dengan baik dan Insya-Allah akan siap pada suku ketiga tahun hadapan,” katanya.

 

Manakala bagi kebakaran melibatkan tujuh unit Rumah Transit Taman Bayu Damai akibat litar pintas awal bulan ini, Mohd Jafni berkata, Kerajaan Negeri sudah memohon bantuan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) untuk membaiki unit kosong bagi penempatan sementara penduduk terlibat dengan kebakaran.

 

Ujarnya, penduduk rumah transit dibina Kerajaan Negeri pada 2014 dan mula didiami tahun 2016 itu sepatutnya berpindah ke PPR Pengerang, namun belum dapat berbuat sedemikian berikutan projek PPR terbabit belum siap sepenuhnya.

 

“Di bawah urus tadbir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Insya-Allah semua isu dan masalah akan dapat diselesaikan dengan kerjasama semua pihak dan gerak kerja bersepadu,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor