KERAJAAN NEGERI PASTIKAN PERANCANGAN DILAKSANAKAN: ONN HAFIZ


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas sesi pertemuan dengan EXCO Kerajaan Johor bagi membincangkan pelaksanaan inisiatif dan program yang telah, sedang, dan akan dirancang | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor sedaya upaya memastikan setiap perancangan dilaksanakan demi manfaat dan kesejahteraan Bangsa Johor pada masa akan datang.

 

Perkara itu dizahirkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas sesi pertemuan dengan EXCO Kerajaan Johor, semalam, bagi membincangkan pelaksanaan inisiatif dan program yang telah, sedang, dan akan dirancang.

 

Antara EXCO kerajaan negeri terlibat adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norliza Noh.

 

“Saya turut menekankan pentingnya kerajaan negeri mewujudkan suasana yang kondusif dalam usaha meningkatkan lagi daya tarikan Johor sebagai destinasi pelaburan terkemuka, seperti yang dicapai pada tahun 2022.

 

“Namun, dalam kerajaan negeri rancak menarik lebih banyak pelaburan asing dan tempatan, pelaburan dan kilang-kilang sedia ada di Johor akan sentiasa diberi perhatian,” katanya dalam Facebook beliau.

 

Selain itu, Onn Hafiz berkata, pelbagai inisiatif dalam sektor pendidikan negeri akan terus dilaksana bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi dan menepati skop kerja.

 

Ujar beliau, penambahbaikan infrastruktur awam tidak terhad kepada kemudahan seperti jalan raya, tetapi liputan telekomunikasi juga perlu dipertingkatkan untuk operasi perniagaan yang lebih lancar.

 

“Tidak terkecuali juga tekad kerajaan negeri untuk membanteras isu gejala sosial. Ini termasuklah penyalahgunaan dadah yang akan memudaratkan kehidupan seseorang sekaligus merugikan sumber manusia negeri.

 

“InsyaAllah, saya dan seluruh EXCO dan kepimpinan kerajaan negeri sedaya upaya akan memastikan setiap perancangan kami dapat dilaksanakan, demi manfaat dan kesejahteraan Bangsa Johor untuk masa akan datang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor