182 PREMIS TUMPUAN AWAM DIPERIKSA: JBPM Negeri Johor


Pemangku Pengarah JBPM Negeri Johor. Ts. Mohd Rizal Buang hadir menyempurnakan perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Ops Tahun Baru Cina Tahun 2023, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor melakukan pemeriksaan 182 premis tumpuan orang awam sepanjang perayaan Tahun Baru Cina, pada tahun ini.

 

Pemangku Pengarahnya, Ts. Mohd Rizal Buang berkata, antara premis tersebut adalah pusat beli belah dan hotel yang menjadi kunjungan orang ramai.

 

Menurut beliau, pemeriksaan dijalankan melibatkan sistem keselamatan kebombaan, kesiapsiagaan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT), peralatan dan halangan laluan keluar.

 

“Walaupun masyarakat Tiong Hua (yang) menyambut Tahun Baru Cina, tetapi kita di Malaysia, masyarakat lain (juga) mengambil peluang cuti umum yang panjang untuk bercuti dan sebagainya.

 

“Kebanyakan (adalah) premis yang menjadi tumpuan orang awam yang ramai untuk membeli belah dan bersedia untuk musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Ops Tahun Baru Cina Tahun 2023, semalam.

 

Selain itu, Mohd Rizal berkata, JBPM Negeri Johor telah menempatkan jentera di Sedenak dan Yong Peng sebagai persediaan bagi kemungkinan berlakunya kecemasan, kemalangan dan kebakaran selain rondaan secara berkala sempena Tahun Baru Cina kali ini.

 

Ujar beliau, rondaan turut melibatkan kawasan peranginan tumpuan awam seperti di pantai dan air terjun berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang belum berakhir.

 

Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Ops Tahun Baru Cina Tahun 2023 bermula dari 2 hingga 30 Januari ini bertujuan menyuntik dan memberi kesedaran kepada orang awam mengenai keselamatan kebakaran semasa Tahun Baru Cina.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor