SYIHAN HAZMI SAH SERTAI JDT


Penjaga gol Harimau Malaya, Syihan Hazmi diumumkan sebagai pemain baharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), hari ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Penjaga gol Harimau Malaya, Syihan Hazmi diumumkan sebagai pemain baharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), hari ini.

 

Pengumuman tersebut dibuat dalam satu klip video berdurasi 57 saat yang disiarkan oleh Facebook JOHOR Southern Tigers.

 

Syihan merupakan antara pemain yang membantu pasukan Kebangsaan mara ke peringkat Separuh Akhir kempen Piala AFF 2022.

 

Beliau yang sebelum ini mewakili Negeri Sembilan dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22).

 

Selain Syihan, JDT telah mengumumkan kepulangan penyerang import dari Brazil, Diogo Luis Santo ke kem Harimau Selatan.

 

Pasukan juara hatrik tiga kali Liga Super itu turut telah memperkenalkan bekas pemain Pulau Pinang Endrick Dos Santos sebagai pemain baharu.

 

Lebih menarik, kehadiran pemain kelahiran Sepanyol, Juan Muniz yang berpengalaman dalam kancah La Liga serta Oscar Arribas menyarung jersi Harimau Selatan.

 

Pasukan JDT bagi kempan Liga Malaysia musim baharu dikendalikan oleh Esteban Solari yang berpengalaman dalam barisan kejurulatihan skuad muda Argentina.

 

Pemain dan barisan kejurulatihan JDT telah kembali melaporkan diri dan memulakan sesi latihan sebagai persediaan menghadapi perlawanan persahabatan pra-musim.

 

Antara pasukan yang bakal diuji JDT adalah FC Rostov, FC Levski Sofia, FC Lokomotiv Moscow, FC Zenit St. Petersburg serta sebuah kelab UAE yang belum diumumkan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor