KERAJAAN NEGERI PRIHATIN KEBAJIKAN MANGSA BANJIR
#Tangkak – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab yang tinggi, Kerajaan Negeri Johor telah menyediakan 1,500 bakul makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di Dewan Penghulu Long, Kampung Teluk Rimba di sini.
Sehingga kini, seramai 102 penduduk daripada 30 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan selepas kediaman mereka di sekitar kawasan perkampungan berkenaan mula dinaiki air selepas limpahan air sungai yang berlaku di Kampung Parit Dahlan, berikutan kejadian hujan lebat yang berlaku sebelum ini.
YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor ketika mengadakan lawatan ke PPS berkenaan turut menasihatkan penduduk di kawasan terjejas supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan ketika menghadapi situasi banjir. Mereka juga turut disaran supaya turut melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi memastikan tiada penduduk dijangkiti beberapa risiko penyakit bawaan air ketika musim banjir.
YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi Rohani juga menegaskan, tindakan awal yang diambil oleh Kerajaan Negeri dengan memberi sumbangan berbentuk bantuan wang tunai dan juga bakul makanan yang diisi barang makanan yang sedia untuk dimakan serta kit keperluan harian kepada mangsa banjir sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban yang dihadapi oleh penduduk yang terkesan dengan bencana terbabit.
Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi Rohani bersama YBhg Mohd Farid Kassim, Pegawai Daerah Tangkak dan Tuan Haji Mohd Nazib Jasiman, Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak melakukan lawatan bagi meninjau dan menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Penghulu Long berkenaan.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor