KERAJAAN NEGERI TERUS MENGUTAMAKAN KEBAJIKAN GOLONGAN OKU


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail mengadakan pertemuan bersama JKM Negeri Johor bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan PDK, semalam | Sumber gambar Facebook Khairin-Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor terus komited dalam memperkasa dan mengutamakan kebajikan golongan orang kelainan upaya (OKU) termasuklah di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, sebanyak 73 buah PDK yang beroperasi bagi melatih OKU dalam kemahiran kendiri.

 

Menurut beliau, ia bagi memastikan golongan itu dapat berdikari selain menekankan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang memberi manfaat di alam pekerjaan.

 

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor telah memfokuskan inisiatif Economic Empowerment Programme (EEP) dan Transformasi Minda Usahawan (TMU) bagi memastikan bahawa PDK-PDK ini dapat menjana pendapatan.

 

“JKM juga mementingkan Job Coaches yang bekerjasama dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) yang bertujuan menggalakkan penyertaan golongan OKU dalam masyarakat melalui Sokongan Pekerjaan,” kata beliau selepas mengadakan pertemuan bersama JKM Negeri Johor bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan PDK, semalam.

 

Khairin-Nisa berterima kasih kepada JKM Negeri Johor kerana sentiasa menjaga kebajikan rakyat negeri ini, terutamanya golongan rentan termasuklah OKU.

 

“Saya berharap agar semua OKU di Negeri Johor mendaftar di bawah JKM dan menerima manfaat bersama,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor