POLIS JOHOR SERU LEBIH BERWASPADA BERURUSAN ONLINE


Ketua Polis Johor, Dato’ Kamarul Zaman Mamat | Sumber gambar Facebook Polis Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Polis Johor menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila berurusan secara atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

 

Ketua Polis Johor, Dato’ Kamarul Zaman Mamat berkata, orang ramai dinasihatkan menyemak terlebih dahulu talian telefon dan akaun bank digunakan suspek melalui aplikasi ‘semak mule’ disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

 

Menurut beliau, langkah itu bagi mengetahui sama ada talian atau nombor akaun bank terlibat pernah digunakan dalam mana-mana kes jenayah komersial.

 

“Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mengikuti laman sosial JSJK seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi mengetahui modus operandi terbaharu jenayah komersial.

 

“Kesedaran orang ramai adalah amat diperlukan bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan dan hendaklah sentiasa cakna dengan kempen-kempen pencegahan jenayah komersial yang telah dijalankan,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kamarul Zaman berkata, mulai 1 Januari hingga 26 Februari lalu, jumlah keseluruhan siasatan dijalankan terhadap laporan polis melibatkan jenayah komersial adalah 707 kes berbanding 580 kes pada tahun lepas.

 

Ujar beliau, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 127 kes atau 21.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

 

“Dari sudut jumlah kerugian pula, sebanyak 707 kes yang disiasat melibatkan kerugian berjumlah RM26,406,858.31 berbanding RM120,750,674.06 pada tahun 2022. Jumlah tersebut menunjukkan pengurangan sebanyak RM94,343,815.75 atau 78.13 peratus.

 

“Jenayah penipuan menjadi penyumbang tertinggi kepada jumlah kes yang disiasat pada tahun 2023 iaitu 544 kes atau 76.9 peratus. Diikuti oleh kes jenayah siber sebanyak 102 atau 14.4 peratus dan kes ah long sebanyak 32 kes atau 4.5 peratus.

 

“Kes jenayah penipuan melibatkan belian atas talian (online) mencatatkan jumlah kes paling tinggi iaitu sebanyak 108 kes diikuti oleh kes tawaran kerja secara atas talian sebanyak 101 kes dan kes Macau Scam sebanyak 77 kes,” kata beliau lagi.

 

Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor