MALAYSIA BERPOTENSI LAHIR PELAPIS, PENGGERAK SUKAN BOLA JARING


Pasukan Tabika Kemas berjaya mengungguli kategori Pra-Sekolah Kejohanan Bola Jaring Piala YAM Che’ Puan Besar Khaleeda.

 

ISKANDAR PUTERI — Kejohanan Bola Jaring Piala YAM Che’ Puan Besar Khaleeda berlangsung di Stadium Tertutup Arena MBJB Larkin, Johor Bahru melabuhkan tirainya semalam.

 

Majlis penutup kejohanan tersebut telah diserikan dengan keberangkatan YAM Che’ Puan Besar Khaleeda, yang juga Penaung DiRaja Persatuan Bola Jaring Negeri Johor.

 

Selain menyaksikan perlawanan akhir Kategori Terbuka Johor, YAM Che’ Puan Besar Khaleeda juga berkenan untuk menyampaikan hadiah kepada kesemua pemenang bagi setiap kategori.

 

Kategori Tertutup Johor dimenangi oleh JMIX Lightning manakala MBPJ BlackWidow (Terbuka Johor) diikuti Tabika Kemas (Pra-Sekolah) dan Deaf South Johor (Kurang Upaya-Pendengaran).

 

Hadir sama, Isteri Menteri Besar Johor, Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar; Presiden Bola Jaring Negeri Johor, Alwiyah Talib; Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Osman serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak.

 

Sementara itu, Alwiyah dalam ucapannya berkata, kejohanan kali ini telah berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan, latar belakang serta peminat dan penggerak sukan bola jaring termasuklah dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Terengganu, Sabah serta Johor selaku tuan rumah.

 

“Melibatkan 14 pasukan kategori Terbuka Johor, 20 pasukan kategori Tertutup Johor, 10 pasukan kategori Pra-Sekolah serta enam pasukan kategori Kelainan Upaya-Pendengaran.

 

“Saya merakamkan terima kasih atas inisiatif penyertaan sama ada melibatkan penyertaan badan kerajaan, badan bukan kerajaan, komuniti dan swasta. Di kesempatan ini juga, saya menzahirkan penghargaan buat barisan jawatankuasa pengelola yang telah merancang, mengelola dan merealisasikan cetusan idea melibatkan kejohanan yang berprestij ini,” kata beliau.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau turut optimis Malaysia berpotensi melahirkan lebih ramai pelapis dan penggerak sukan bola jaring untuk sama-sama mengharumkan nama negara.

 

“Justeru, Persatuan Bola Jaring Negeri Johor melestarikan usaha dan inisiatif berkenaan kerana menyedari proses pembentukan pelapis-pelapis yang berpotensi memerlukan usaha berterusan untuk sama-sama menyumbang peranan dan fungsi dalam meningkatkan pencapaian sukan bola jaring di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

“Harapan saya semoga sukan bola jaring sebati dan terus diminati di peringkat akar umbi dan mengharapkan Johor dan pasukan-pasukan negeri lain terus cemerlang dalam sukan bola jaring sama ada melibatkan penganjuran dan penyertaan,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor