PEGAWAI DAERAH MUAR DILANTIK SEBAGAI PENGELOLA BIJAYA DIRAJA


Pegawai Daerah Muar, YB Dato’ Hj Mustaffa Kamal Dato’ Hj Shamsudin dilantik sebagai Pengelola Bijaya Diraja, Jabatan Diraja Johor berkuatkuasa 15 Februari 2023 / Gambar Ihsan Royal Press Office (RPO).

 

ISKANDAR PUTERI — Pegawai Daerah Muar, YB Dato’ Hj Mustaffa Kamal Dato’ Hj Shamsudin hari ini secara rasminya dilantik sebagai Pengelola Bijaya Diraja, Jabatan Diraja Johor.

Pelantikan beliau diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani menerusi satu kenyataan rasmi kerajaan hari ini berserta dengan pemakluman Pertukaran 56 Pegawai Tadbir Negeri Johor.

Mustaffa Kamal adalah cahayamata kepada ulama tersohor negeri Johor iaitu Dato’ Kiyai Hj Shamsudin Hj Redzuan dilahirkan pada tanggal 26 April 1966 di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Tangkak.

Mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana (Masters) Sains Kaunseling dari Universiti Utara Malaysia (UUM) beliau sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran.

Perkhidmatan Mustaffa Kamal dalam pentadbiran Kerajaan Johor bermula apabila beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (Cawangan Perkhidmatan) pada 1999.

Hanya selepas setahun berkhidmat di SUKJ, beliau kemudiannya ditukarkan ke jawatan Penolong Pentadbir Tanah di Pejabat Tanah Kota Tinggi sehingga 2003 dan kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Majlis Daerah Kota Tinggi dari 2003 hingg 2007.

Selepas tujuh tahun menabur bakti di daerah Kota Tinggi, beliau kemudiannya bertukar ke Majlis Daerah Segamat sebagai Setiausaha sehingga tahun 2011 sebelum kembali ke daerah kelahirannya sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) di Pejabat Daerah Tangkak dari 2011 hingga 2014.

Beliau juga sempat menjawat jawatan Setiausaha Majlis Perbandaran Kluang selama setahun sebelum memulakan perkhidmatan selama tiga tahun sebagai Pentadbir Tanah Daerah Kluang dari 2015 hingga 2018.

Mustaffa Kamal kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM) pada 2018 sebelum berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Muar pada 1 Februari 2020 hingga semalam dan hari ini dilantik sebagai Pengelola Bijaya Diraja.

Sepanjang 24 tahun mencurah bakti dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor, Mustaffa Kamal dilihat sebagai seorang yang komited dan berdedikasi dalam menjalankan tugasnya.

Hasil kerja keras beliau dan pasukkannya dapat dilihat menerusi pencapaiannya seperti MPM telah menerima Anugerah Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN 2018 pada Forum Pelancongan ASEAN, MPM juga turut menerima Anugerah ASEAN Clean CIT Standard (2022-2024).

Bandar Maharani Bandar Diraja turut menerima pengiktirafan Lima Bandar Terbersih Malaysia 2016, Anugerah Bandar Terbersih Malaysia 2017 dan Anugerah Tandas Terbersih (Kategori Bandar Pelancongan).

Ketika beliau mengetuai Pejabat Daerah Muar, Bandar Diraja itu juga pernah menerima pengiktirafan dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) apabila Program Melestarikan Sungai Peringkat Daerah Muar berjaya mencatatkan jumlah balingan 324,871 ‘mud ball’ ke dalam sungai dan parit di daerah terbabit.

Kecemerlangan beliau dalam pentadbiran Kerajaan Johor turut diiktiraf oleh Institusi Diraja Johor apabila DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menganugerahkan beliau dengan pingat Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) pada 23 Mac 2022.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor