SOKONG INISIATIF LESTARI KESEJAHTERAAN HIDUP VETERAN TENTERA


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menghadiri Majlis Penyampaian Sijil PERHEBAT dan Program Reskilling Upskilling Veteran ATM di Ayer Hitam | Sumber Facebook Mohd Hairi Mad Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri akan terus menyokong dan memberi komitmen dalam segala inisiatif untuk melestarikan kesejahteraan hidup veteran tentera.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyeru agensi kerajaan negeri di bawahnya untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran tentera di Johor.

“Saya menyeru agensi kerajaan negeri di bawah saya iaitu Unit Strategik Modal Insan (SMI) dan syarikat-syarikat swasta dapat membantu dan menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran tentera di negeri ini.

“Dengan pelbagai kepakaran dan pengalaman mereka dalam perkhidmatan ATM pastinya berupaya memberi sumbangan besar kepada bakal majikan daripada pelbagai industri seperti pertanian, keselamatan, perkhidmatan dan juga pembuatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil PERHEBAT dan Program Reskilling Upskilling Veteran ATM di Ayer Hitam, hari ini.

Bercakap mengenai majlis tersebut, Mohd Hairi berkata, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) telah menubuhkan Pusat Latihan dan Bimbingan Veteran (PLBV) di Johor bagi membolehkan veteran tentera menikmati manfaat daripada peranan kewujudannya.

Ujar beliau, program latihan peralihan merupakan program dianugerahkan kepada anggota tentera untuk memulakan proses bersara atau menamatkan perkhidmatan.

“Tanggungjawab PERHEBAT bukan sekadar melatih, tetapi membimbing bakal pesara dan veteran ATM dalam kerjaya kedua mereka.

“Bagi meneruskan inisiatif tersebut, saya difahamkan PERHEBAT akan melebarluaskan pelaksanaan Program Reskilling Upskilling Veteran ATM bagi membantu kumpulan yang sukar mendapat pekerjaan disamping membantu veteran yang memerlukan bimbingan keusahawanan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sijil tamat latihan peralihan diuruskan oleh PERHEBAT selain turut serta dalam taklimat Program Reskilling Upskilling Veteran ATM khusus untuk veteran tentera.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor