KERJASAMA MAMPU TERJEMAH SATU KERANGKA EKONOMI MAMPAN : MENTERI BESAR JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerima kunjungan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berserta delegasi Kementerian Ekonomi | Foto Ihsan, FB Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor memiliki potensi besar dan banyak kelebihan untuk dimajukan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Beliau berkeyakinan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu diterjemahkan kepada satu kerangka ekonomi lebih mampan demi manfaat rakyat.

 

“Insya Allah, perancangan ekonomi serta polisi yang tersusun mampu menarik lebih ramai pelabur ke Johor serta mampu merealisasikan hasrat Negeri Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor mengadakan perbincangan bersama Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berserta delegasi Kementerian Ekonomi.

 

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Mohamed Ridha Abd Kadir serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim.

 

Onn Hafiz berkata, pelbagai perkara telah dibincangkan termasuk strategi untuk menjadikan Johor sebagai enjin ekonomi utama negara.

 

“Ini termasuklah membangunkan lagi Wilayah Iskandar Malaysia dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor