4,062 PELAJAR DARJAH KHAS AGAMA JOHOR CEMERLANG


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, jumlah calon lulus keseluruhan pula seramai 8,406 daripada 11,662 calon yang menduduki peperiksaan itu | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Seramai 4,062 calon Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) 2022 Sekolah Agama Kerajaan Johor memperoleh keputusan cemerlang dengan Pangkat 1.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, jumlah calon lulus keseluruhan pula seramai 8,406 daripada 11,662 calon yang menduduki peperiksaan itu.

 

“Pelajar terbaik SDKA 2022 dinobatkan kepada Shahizatul Arianie Shahrul dari Sekolah Agama Taman Seri Saujana, Kota Tinggi dengan memperoleh 12A1 dan peratus kelulusan tertinggi iaitu 95.83 peratus.

 

“Sekolah terbaik SDKA 2022 dengan pencapaian kelulusan 100 peratus dengan Gred Purata Skor 1.09 dianugerahkan kepada Sekolah Agama Penjara Simpang Renggam,” katanya di Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan SKDA dan Sijil Menengah Agama (SMA) 2022 di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.

 

Turut hadir, Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Negeri Johor merangkap Ahli Lembaga Peperiksaan Agama Johor, Dato’ M. Tahrir Samsudin serta Timbalan Pengarah Pendidikan Agama, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Md. Radhi Ruslan.

 

Mohd Fared berkata, Pontian mengekalkan gelaran sebagai Daerah Terbaik SDKA 2022 dengan peratus kelulusan keseluruhan sebanyak 76.75 peratus.

 

Ujar beliau, pendidikan agama di Johor masih mendapat tempat di kalangan masyarakat apabila berlaku peningkatan 1.98 peratus jumlah calon mendaftar SDKA 2022 iaitu seramai 20,808 calon berbanding 20,404 calon untuk tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, bagi  SMA Tahun 2022, Mohd Fared memberitahu jumlah calon meningkat daripada 1,201 kepada 1,215 calon berbanding tahun lepas.

 

Menurutnya, SMA merangkumi dua pakej peperiksaan iaitu Pakej Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Agama (KBSMA) dengan 122 calon, manakala Pakej Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dengan 1,093 calon.

 

“Peratusan kelulusan keseluruhan Pakej KBSMA adalah 100 peratus, manakala Pakej KBD adalah 88.84 peratus. Terdapat dua calon KBSMA dan 42 calon KBD masing-masing mendapat pangkat Mumtaz bagi semua mata pelajaran. Pelajar Terbaik KBSMA dianugerahkan kepada Muhamad Iman Muhaimin Mohd Lazin dengan mencapai GPI 1.00 mata dengan 93.08 peratus.

 

“Manakala, pelajar terbaik KBD (3 bidang) dianugerahkan kepada Amirah Khairiah Ahmad Kamal dan KBD (5 bidang) pula dimiliki oleh Diana Sufia Hashim dengan masing masing memperoleh GPI 1.00 dengan peroleh pangkat mumtaz dalam semua mata pelajaran,” katanya.

 

Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang dinobatkan sebagai sekolah terbaik KBSMA Tahun 2022 sementara Sekolah Menengah Agama An-Nur, Benut Pontian diumumkan sekolah terbaik BPD.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor