KETUA KAMPUNG SAMBUT BAIK PENGUMUMAN MENTERI BESAR JOHOR


Ketua-Ketua Kampung Negeri Johor menyambut baik ‘berita gembira’ diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Amanat Bersama Ketua Kampung Negeri Johor, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Persatuan Ketua-Ketua Kampung Negeri Johor menyambut baik insentif peruntukan daripada kerajaan negeri diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam.

 

Pengumuman ‘berita gembira’ tersebut dibuat pada Majlis Amanat Menteri Besar Johor Bersama Ketua Kampung Negeri Johor.

 

Presidennya, Ab. Kahar Mashuri berkata, mewakili persatuan, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri terutama menteri besar atas pengumuman dibuat.

 

“Jadi pihak kami memang telah merancang perkara dan keperluan di peringkat negeri, daerah dan juga kampung masing-masing. Pihak jawatankuasa khasnya negeri dan daerah akan bergerak sebagaimana dicadangkan.

 

“Sekali lagi terima kasih banyak-banyak kepada menteri besar dan juga Kerajaan Negeri Johor,” kata beliau yang juga Ketua Kampung Sungai Abong kepada Media Digital Johor.

 

Ketua Kampung FELDA Ulu Tebrau, Ab. Jalil Sahlan memuji keprihatinan kerajaan negeri pimpinan menteri besar terhadap cabaran dihadapi oleh ketua-ketua kampung di Johor.

 

“Kita (sebagai) ketua kampung ini adalah tempat mengadu kepada penduduk kampung. Bila kita ditambahkan elaun, sekurang-kurangnya dapat menolong golongan yang memerlukan.

 

“Kadang-kadang mereka ini tiada tempat untuk mengadu, jadi kitalah sebagai ‘bapa’ di kampung untuk meringankan bebanan mereka yang memerlukan,” katanya.

 

Bagi Ketua Kampung Kawasan 1, Parit Semerah, Pontian, Kamidin A. Salam menyifatkan amanat Menteri Besar Johor memberikan gambaran yang jelas mengenai tanggungjawab ketua kampung.

 

“Dari segi tugas dan tanggungjawab ketua kampung, nampaknya kali ini agak mencabar.

 

“Sebagai ketua kampung yang agak lama, memang ini (tanggungjawab) luar biasa. Lebih-lebih lagi Menteri Besar Johor pun memang hendak apa yang kita hendakkan, dan kita sahut seruan beliau,” katanya.

 

Manakala bagi Ketua Kampung Maju Jaya, Roslan Hassan pula, mengalu-alukan amanat disampaikan oleh Menteri Besar Johor yang disifatkan prihatin terhadap masyarakat setempat.

 

“Diberikan mandat kepada ketua kampung untuk menjalankan program dan aktiviti yang dekat dengan masyarakat. Dengan peruntukan yang disalurkan, kita dapat menjayakan apa-apa perkara di peringkat akar umbi.

 

“Terima kasih kepada menteri besar yang sentiasa memberikan perhatian, mendengar nadi denyut rakyat di bawah terutama dalam Negeri Johor,” katanya.

 

Semalam, Menteri Besar Johor mengumumkan kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM100,000 kepada Persatuan Ketua-Ketua Kampung Peringkat Daerah di mana setiap daerah masing-masing menerima RM10,000, dan RM20,000 kepada Persatuan Ketua-Ketua Kampung Peringkat Negeri.

 

Selain itu, beliau turut mengumumkan setiap kampung akan diperuntukkan RM1,000 untuk membeli keperluan bagi menjayakan aktiviti gotong royong sempena Program Johor Bersih.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor