SYOR SEDIA GARIS PANDUAN TERPERINCI : MENTERI BESAR JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempengerusikan sesi Taklimat Perundangan dan Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor berpendirian tegas berhubung larangan berpolitik dalam masjid dan surau di seluruh negeri ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius sebarang percubaan memecah belahkan keharmonian Bangsa Johor.

 

“Marilah kita terus kembali ke tujuan asal institusi masjid dan surau, dengan sentiasa memenuhi majlis ilmu dan mengukuhkan akidah kita.

 

“Saya juga telah mengesyorkan kepada pihak Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan pihak Pejabat Mutfi Negeri Johor supaya disediakan garis panduan terperinci berkaitan larangan berpolitik ini dan disebarkan kepada seluruh Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Johor untuk diteliti dan dipatuhi,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Onn Hafiz mempengerusikan sesi Taklimat Perundangan dan Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor, anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini, semalam.

 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani; Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

 

Selain itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Dato’ Amir Nasruddin; Mufti Johor, Dato’ Yahya Ahmad; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Dato’ Dr. Nooh Gadut serta Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN Negeri Johor.

 

Menteri Besar Johor berkata, pelbagai usaha juga dilaksanakan bagi meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

 

Antaranya, Fasa 5 Pembinaan Sekolah Agama di Johor sebanyak 30 buah sekolah telah siap dibina, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM173 juta.

 

Di samping itu, sebanyak RM460,000 diperuntukkan oleh MAIJ bagi pemasangan Wi-Fi di 160 buah masjid dan surau untuk tujuan pembelajaran.

 

Bagaimanapun, Menteri Besar Johor berkata, kerajaan negeri tidak sama sekali meminggirkan agama dan bangsa lain di Negeri Johor.

 

“Sebanyak RM14.5 juta disalurkan untuk pembangunan masyarakat Cina, India, Sikh, dan lain-lain.

 

“Hal ini membuktikan kerajaan negeri amat mementingkan kebajikan seluruh bangsa Johor, dan tidak berkompromi dalam sebarang percubaan untuk memecahbelahkan keharmonian rakyat negeri ini,” kata beliau.

 

Onn Hafiz turut menjunjung titah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Ketua Agama Islam di negeri ini serta titah DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, selaku Pengerusi MAIJ berkaitan larangan berpolitik dalam masjid dan surau di seluruh negeri Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor