KMJ 2023: PENGEMBARAAN 4X4 SULTAN JOHOR TEMUI RAKYAT


Kembara Mahkota Johor yang akan berlangsung esok.

 

ISKANDAR PUTERI — Kembara Mahkota Johor (KMJ) cetusan ilham DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sejak tahun 2001, kembali dianjurkan bagi edisi kali ke-23 bermula esok hingga 8 Ogos ini.

 

Acara tahunan kalendar pelancongan Johor dan acara utama peringkat Kerajaan Negeri itu bakal menyaksikan pengembaraan pacuan empat roda diketuai Baginda Tuanku Sultan bagi penganjuran kali ini.

 

Tourism Johor dalam satu kenyataan memaklumkan pengembaraan dengan jarak perjalanan melebihi 879 kilometer (km) itu akan bermula dengan pelepasan di Istana Pasir Pelangi, dekat Johor Bahru bermula jam 8.30 pagi.

 

“Diterjemahkan dalam bentuk pengembaraan diketuai DYMM Sultan Johor dengan cara atau gaya tersendiri mendekati rakyat bersama pegawai kanan Kerajaan Negeri berkonvoi atau berkembara menggunakan pacuan empat roda dari satu daerah ke satu daerah.

 

“(Kembara) bagi melihat sendiri pembangunan yang telah dirancang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan kepada rakyat. Program ini boleh disifatkan sebagai ‘hands-on’.

 

“Melalui pendekatan acara KMJ 2023 juga telah memberi gambaran menarik pemantauan terhadap projek pembangunan dan secara tidak langsung mempertingkatkan usaha membaiki kehidupan rakyat yang perlu diberi perhatian sepenuhnya,” jelas kenyataan itu.

 

Tourism Johor juga memaklumkan KMJ 2023 memberi ruang kepada rakyat menemui, mengenali dan mendekati Baginda Tuanku Sultan dan Keluarga DiRaja Johor secara dekat menerusi pelbagai program yang disusun.

 

“Keberangkatan DYMM Sultan Johor ke setiap daerah akan memupuk kemesraan yang cukup bermakna antara institusi istana, kerajaan dan rakyat. Ini dapat disaksikan kesediaan rakyat saban tahun menantikan ketibaan Baginda Tuanku Sultan sempena KMJ.

 

“Sejak tradisi KMJ 2001, DYMM Sultan Johor dan DYMM Pemaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah berserta paduka anakanda akan bersama menyokong dan menyelami kehidupan rakyat,” jelas kenyataan berkenaan.

 

Tourism Johor turut memaklumkan bahawa penganjuran KMJ menjadi medan merapatkan lagi hubungan Institusi DiRaja dan para pemimpin negeri dengan rakyat jelata.

 

Pada masa sama, KMJ juga memberikan kesan terhadap ekonomi negeri ini, terutama industri pelancongan di mana pengamal media akan membuat liputan berita dan menyiarkan laluan, lokasi dan produk pelancongan di Johor.

 

“Sesungguhnya usaha ke arah memartabatkan Institusi DiRaja sebagai payung yang memayungi kesejahteraan rakyat segenap lapisan dan keprihatinan DYMM Sultan Johor dalam memberi perhatian soal pembangunan dan kebajikan rakyat akan memberi sentuhan di hati rakyat Johor secara keseluruhan.

 

“Seluruh rakyat amat menanti-nantikan KMJ pada setiap tahun untuk bertemu dengan DYMM Sultan Johor bersama Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta pegawai kanan Kerajaan Johor dalam rangka program ‘turun ke padang’ bertemu dan beramah mesra,” jelas kenyataan itu lagi.

 

KMJ 2023 bakal menyaksikan perjalanan sejauh 204km untuk hari pertama diikuti 321km (hari kedua), 176km (hari ketiga) dan 181km (hari keempat) dengan keseluruhan jarak iaitu 879km.

 

Kali terakhir KMJ dianjurkan adalah pada tahun 2019 sebelum dunia termasuk Malaysia dilanda pandemik COVID-19.

 

Sepanjang KMJ 2023, Tourism Johor akan mengedarkan cenderahati KMJ secara percuma di 10 lokasi ‘pit stop’ terpilih mengikut terma dan syarat ditetapkan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor