KOMITED SEDIA KEMUDAHAN, INFRASTRUKTUR PENDIDIKAN KONDUSIF


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sentiasa berusaha menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang kondusif, meliputi pembinaan sekolah baharu bagi memenuhi keperluan semasa.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, dalam konteks pembinaan sekolah baharu, pihak jabatan akan mendapatkan input dan cadangan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

 

“Seterusnya, JPNJ akan melaksanakan analisis keperluan selain kesediaan tapak atau tanah. Antara perkara lain yang diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk serta perancangan pembangunan kawasan tersebut berdasarkan perbincangan bersama-sama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad mengenai rancangan Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan negeri bagi menambah bilangan sekolah kebangsaan bagi memenuhi keperluan berikutan kepadatan penduduk di Taman Nusantara.

 

Bagi menjawab soalan tersebut, Norlizah memaklumkan kapasiti sekolah kebangsaan sedia ada masih berupaya menampung pertambahan enrolmen murid di kawasan tersebut.

 

“Sekiranya pada masa akan datang, ada keperluan mendesak di kawasan tersebut, JPNJ akan mengangkat permohonan pembinaan bagi sekolah baharu dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun. Bagaimanapun, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kelulusan agensi pusat dan kemampuan kewangan negara,” katanya.

 

Sementara itu, Norlizah ketika ditemui pemberita memaklumkan isu kepadatan pelajar di negeri ini, sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

 

Ujarnya, hasil semakan mendapati isu yang telah sekian lama diperjuangkan oleh kerajaan negeri, berlaku di kawasan hotspot seperti Pasir Gudang, Skudai, Nusajaya dan di Johor Bahru.

 

“Menteri (Pendidikan) baru-baru ini datang, turun padang, kita pun bawa juga isu ini. Sebelum ini juga, masa tahun lepas, kunjungan hormat saya dengan Menteri (Pendidikan) terdahulu. Kita ambil maklum, (dan) kita nak beri keselesaan kepada anak kita belajar di sekolah.

 

“Kalau tidak selesa, mereka tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya. Ia bukan sahaja kepada pelajar, tetapi guru-guru juga macam mana hendak tarik minat pelajar. Bila kelas penuh, semua terkesan. Jadi, isu ini adalah isu utama. Kerajaan negeri selalu mengambil perhatian bersama JPNJ,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor