MBIP KOMITED PEMBANGUNAN BANDAR MAMPAN DAN PINTAR


Datuk Bandar MBIP, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad berkata usaha Penghijauan Taman Awam sebagai langkah memastikan bandar raya Iskandar Puteri ke arah mampan dan pintar | Foto MDJ Muhammad Izuan Mohd Nizam.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) komited memastikan bandar raya Iskandar Puteri dibangunkan secara mampan dan pintar.

 

Datuk Bandar MBIP, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, berkata komitmen itu akan dilaksanakan menerusi usaha penghijauan taman awam yang terdapat di sekitar bandar raya itu.

 

Beliau berkata, langkah ini diambil selepas kejayaan MBIP meraih dua anugerah pada Sambutan Hari landskap Negara 2023 dan Festival Taman Kuala Lumpur 2023 baru-baru ini.

 

Katanya, usaha penghijauan ini akan memastikan taman awam dan kawasan lapang berada pada tahap berkualiti serta mampan dari aspek rekreasi, psikologi, interaksi sosial, keindahan, kelestarian alam sekitar, pendidikan dan ekonomi.

 

“MBIP perlu memastikan taman awam dan kawasan hijau yang dirancang, dibangunkan dan diurus secara komprehensif serta menyumbang kepada pembentukan identiti setempat.

 

“Taman Awam dan kawasan hijau yang inklusif akan memastikan komuniti mendapat kemudahan rekreasi awam yang berkualiti dan menyumbang kepada kesejahteraan hidup rakyat Madani,” katanya kepada Media Digital Johor, baru-baru ini.

 

Mohd Haffiz berkata, pihaknya berharap usaha ini dapat dilaksanakan supaya mampu memberi kesejahteraan dan keselesaan kepada orang ramai apabila berkunjung atau beriadah di taman awam seliaan MBIP kelak.

 

Ujarnya, Taman Awam MBIP sebelum ini berjaya meraihkan anugerah Penarafan 5 Rosa-Sinensis membabitkan kriteria seperti memiliki akses yang saksama, selesa, selamat, fasiliti dan utiliti yang mudah kepada pengunjung serta mesra golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

 

“Taman awam ini juga sering digunakan untuk aktiviti rekreasi, interaksi sosial kebudayaan setempat di samping kualiti visual yang menarik, indah dan menenangkan.

 

“Selain itu, ia juga menyokong ekosistem bandar yang lebih luas daripada aspek kelestarian alam sekitar dan mewujudkan habitat kepelbagaian biologi perbandaran,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor