KOMUNITI DI HATI DIPERLUAS KE LIMA LOKALITI BAHARU


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berucap di Program Komuniti Di Hati.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor meluluskan peruntukan RM1.2 juta bagi menjayakan Program Komuniti Di Hati di lima lokaliti baharu untuk tahun ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, lokaliti berkenaan adalah Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di Johor Bahru, Rumah Pangsa Temenggong, Rumah Pangsa Cengal, dan Pangsapuri Rakyat di Kulai serta Kampung Sungai Linau di Kluang.

 

Menurutnya, empat lokaliti asal iaitu Rumah Pangsa Larkin di Johor Bahru, Kampung Sungai Durian di Pontian, Kampung Lubok Darat di Batu Pahat dan Kampung Sedili dikekalkan.

 

“Semoga Projek Komuniti Di Hati ini akan menjadi sebuah projek komuniti yang cakna dengan keadaan masyarakat yang kurang bernasib baik selain dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama insan,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Jumaat.

 

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian Program Komuniti Di Hati Tahun 2023 Daerah Pontian anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) di Kampung Sungai Durian, dekat Kukup, serta mengagihkan bungkusan keperluan kepada penerima.

 

Khairin-Nisa berkata, program Komuniti Di Hati cetusan idea asal Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberikan projek penyediaan makanan untuk ibu tunggal sebagai peluang pekerjaan.

 

Ujarnya, makanan disediakan itu pula diberikan kepada golongan memerlukan pada setiap minggu dengan jumlah sasaran 42,000 bungkusan akan diedarkan merangkumi kesemua lokaliti yang telah dipilih.

 

“Projek ini merupakan projek serampang dua mata kepada ibu tunggal, isi rumah dan lokaliti miskin tegar serta kawasan sekitar atau berhampiran. Program yang bermula pada tahun lepas ini menunjukkan impak yang baik kepada golongan sasar,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor