KONSERT 25 TAHUN RABBANI UBAT RINDU PEMINAT


KONSERT 25 Tahun ‘Simfoni Kesyukuran’ Rabbani di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang pada Jumaat lalu, berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 peminat irama nasyid | Sumber Yayasan Warisan Johor.

 

KONSERT 25 Tahun ‘Simfoni Kesyukuran’ Rabbani di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang pada Jumaat lalu, berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 peminat irama nasyid.

 

Dendangan lagu ‘Pergi Tak Kembali’ dan ‘Intifada’ oleh Kumpulan Rabbani yang pernah mencetuskan fenomena industri nasyid tanah air telah mengubat kerinduan peminat.

 

Konsert 25 Tahun ‘Simfoni Kesyukuran’ Rabbani merupakan anjuran Kerajaan Johor menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) buat julung kalinya dengan kolaborasi bersama Rabbani Empire Resources.

 

Pengarah YWJ, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, konsert itu merupakan inisiatif di bawah Unit Kesenian Islam YWJ.

 

“Sebelum ini, program Kesenian Islam hanya menganjurkan program berkonsepkan bengkel dan kelas muzik moden atau tradisional sahaja.

 

“Namun, pada tahun ini YWJ telah berkolaboratif bersama kumpulan nasyid Rabbani menganjurkan program bersifat konsert,” katanya.

 

Sharil Nizam berkata, YWJ memilih Rabbani atas sebab populariti dan perjuangan kumpulan tersebut yang masih bertahan dalam industri muzik nasyid selama lebih dua dekad.

 

“Penganjuran program konsert ini bertujuan meningkat kefahaman, kesedaran terhadap genre nasyid dan menanam semangat jati diri masyarakat melalui bait-bait dalam lirik lagu yang disampaikan.

 

“Antara objektif utama penganjuran konsert adalah memberi peluang kumpulan Rabbani untuk mendekati para peminat secara lebih dekat dan ianya satu bentuk penghargaan kepada mereka yang banyak menyokong perjuangan seni Rabbani selama 25 tahun,” katanya.

 

Beliau berkata, selain itu, gabungan kepelbagaian bentuk muzik nasyid pada konsert tersebut adalah satu keunikan yang akan menarik minat masyarakat khususnya golongan belia untuk meminati irama nasyid khususnya di Negeri Johor.

 

“Malah masyarakat juga akan menghargai nilai-nilai yang ada dalam irama nasyid di samping mewujudkan kesedaran dalam memupuk semangat perpaduan sekali gus menyemarakkan lagi keharmonian rakyat di negeri ini.

 

“Kelangsungan kesenian dan kebudayaan terutama irama nasyid diharap dapat mengimbangi pembangunan holistik di Negeri Johor,” katanya.

 

Konsert berlangsung selama dua jam itu turut menampilkan artis jemputan seperti Mawi, Hijjaz, Daqmie, Dinie Juri dan Aeydan serta penglibatan barisan pemuzik dari YWJ.

 

Persembahan bertemakan ‘Simfoni Kesyukuran’ Rabbani juga akan diiringi dengan muzik okestra dan perkusi selain mengandungi Qasidah, Tarian Sufi Munajat dan Sajak Pertarungan berserta Pentomen.

 

Bersesuaian dengan pengalaman 25 tahun Rabbani, konsert itu berlangsung beberapa segmen antaranya pembukaan dengan kemunculan awal Rabbani berkonsep Andalusia seterusnya Nostalgia namda Murni, Kebangkitan Nasyid, Tribute dan akhir sekali era pandemik dan terkini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor