KrMJ 2.0 DIPERKASA, BENTUK IDENTITI MURID JOHOR


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Modul KrMJ 2.0 yang berlangsung serentak dengan Persidangan Pemimpin Pelajar Antarabangsa Johor (JISLC) Tahun 2024 di KSL Hotel & Resort Johor Bahru. | Foto MDJ Wira Anggara

Modul Karakter Murid Johor (KrMJ) 2.0 melibatkan 1,193 sekolah di seluruh negeri ini, diberi nafas baharu sebagai antara usaha signifikan Kerajaan Negeri bagi melahirkan generasi muda yang mempunyai sahsiah terpuji, disanjung, dikenali serta dipandang tinggi.

 

YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor memaklumkan antara elemen terbaharu dimasukkan adalah sejarah dan kebudayaan yang akan menyuntik jati diri anak Johor selain keberkesanan pelaksanaannya akan dipantau dengan lebih teliti oleh penyelaras di setiap sekolah.

 

Modul baharu KrMJ 2.0 itu akan diaplikasikan dalam semua program dan aktiviti di peringkat sekolah melibatkan perhimpunan rasmi, program 1 Murid 1 Sukan selain turut dijadikan sebagai sebahagian modul Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

 

Inisiatif yang mula diperkenalkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor pada 2017 kini melibatkan 10 modul antaranya patriotik, keterampilan diri, adab dan kerohanian, gaya hidup sihat, keterampilan berbahasa, kepimpinan, teknologi, identiti nasional, seni budaya dan sukarelawan.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Modul KrMJ 2.0 yang berlangsung serentak dengan Persidangan Pemimpin Pelajar Antarabangsa Johor (JISLC) Tahun 2024 di KSL Hotel & Resort Johor Bahru.

 

Hadir sama, YB K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor serta YBrs. Mohd Hanafi Samad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor