PEMIMPIN MUDA JOHOR BERSEDIA KE HADAPAN


Kira-kira 1,500 pelajar tempatan dan antarabangsa berhimpun membincangkan dan bertukar pandangan berkaitan isu-isu semasa dalam Persidangan Pemimpin Pelajar Antarabangsa Johor (JISLC) 2024.

 

Persidangan memasuki penganjuran kali kesembilan itu terus menterjemahkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mengasah bakat seterusnya menyediakan barisan pemimpin pelajar untuk diketengahkan di peringkat global.

 

Bagi S. Yammunaa, 17, Pengarah Projek JISLC 2024 memaklumkan persidangan kali ini memberi tumpuan kepada topik melibatkan ekonomi, politik dan alam sekitar selain menekankan kesedaran dan literasi dunia digital dalam pembentukan generasi muda masa kini.

 

Ahli Majlis Pemimpin Muda Johor (JSLC) Kohort Ke-12 itu juga menzahirkan kesediaan tampil ke hadapan menyahut seruan Menteri Besar Johor agar pemimpin muda bergerak aktif membantu pembangunan belia di negeri ini.

 

Beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menubuhkan JSLC pada tahun 2010 bagi melahirkan pemimpin muda elit, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi menerusi pelbagai modul latihan.

 

Terdahulu, JISLC 2024 bertemakan ‘Digital Universe: Exploring the Cyber Cosmos’ telah disempurnakan perasmiannya oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di KSL Hotel & Resort Johor Bahru.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor