JOHOR TIDAK KOMPROMI ISU BERBANGKIT PPR, RSK

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membendung isu sewa atas sewa atau ‘sublet’, tunggakan sewa dan sambungan utiliti haram di semua kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) seluruh Johor.
Untuk rekod, sebanyak 22 perumahan berkenaan terdiri 15 PPR dan tujuh RSK dengan jumlah 15,631 unit didapati terkesan secara langsung dengan isu penyewaan semula tanpa kebenaran, kegagalan menjelaskan bayaran sewa serta penyambungan utiliti, jelas YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
Budaya sewa atas sewa dilakukan segelintir penyewa disifatkannya sebagai perbuatan tidak bermoral bukan sahaja salah dari sudut perundangan malah telah menafikan hak golongan sasar yang layak menerima manfaat untuk menduduki kediaman disediakan oleh kerajaan itu.
Justeru, antara langkah jangka masa pendek yang sudah digerakkan Kerajaan Negeri termasuk pemeriksaan berkala pada waktu malam, merancang pelaksanaan sistem pagar perimeter dengan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) serta perjanjian baharu Lesen Menduduki Sementara (LPS).
Kerajaan Johor turut melaksanakan penstrukturan semula kaedah pembayaran tunggakan sewa dan senarai hitam penyewa gagal menjelaskan bayaran yang bukan sahaja membebankan pengurusan PPR dan RSK, tetapi menjejaskan kerja-kerja penyelenggaraan aset perumahan.
Sementara itu, sebanyak 38 tawaran kerja naik taraf dan penyelenggaraan bagi PPR serta RSK sudah diiklankan sepanjang tahun ini, termasuk PPR Kempas, PPR Desa Mutiara, PPR Sri Stulang, PPR Melana Indah, PPR Perling, PPR Permas, PPR Tiram serta beberapa perumahan lain di Pontian, Kulai dan Kluang.
#PerumahanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor