LAYANG-LAYANG BAWA MESEJ GEMBIRA, KASIH SAYANG DAN KERINDUAN


Layang-layang berbentuk kucing membawakan aura positif dan kegembiraan pada Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) 2023 / Gambar MDJ Nurul Asyiqin Jalil.

 

PASIR GUDANG — “Saya dan abang saya Andrii menerbangkan layang-layang berbentuk kucing kerana membawa sifat yang ada pada haiwan terbabit iaitu positif,” kata Alex Shramko.

Alex, 39 yang turut menyertai Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) 2023 bersama abangnya Andrii Shramko, 40, berkata, ia secara tidak langsung menggambarkan perasaan yang ada mereka.

“Layang-layang adalah sebahagian daripada tradisi keluarga kami dan sudah mengenali layang-layang sejak berusia lima tahun lagi. Lagipun, ayah saya juga adalah antara penganjur pesta layang-layang di Kiev, Ukraine.

“Seperti sudah menjadi menjadi darah daging kami, saya dan abang sering menjelajah bersama layang-layang kami ke beberapa negara bermain bersama-sama peserta lain,” katanya kepada Media Digital Johor.

Alex yang kini dalam program jelajah ke Festival Layang-Layang yang bermula di Satun, Thailand; Pasir Gudang, Johor dan Kabong, Sarawak berkata, mereka berdua juga sudah dikenali sebagai pemain layang-layang berbentuk kucing.

“Kalau sebutkan ‘Alex kites’, semua akan mengenali kami. Layang-layang ini direka oleh Andrii dengan menggunakan komputer sebelum proses pembuatan menggunakan teknik keratan laser.

“Bila sebutkan layang-layang kucing kami, apa yang pasti kami mahu membawakan semangat kucing itu sendiri iaitu semangat yang sentiasa positif dan gembira walau apa pun yang berlaku,” katanya yang cuba menyembunyikan emosi apabila ditanyakan mengenai konflik bersenjata di negara asalnya kini.

Sementara itu, peserta dari Scotland, Mark Jones, 55, membawa antara layang-layang terbesar pada FLLSPG kali ini apabila mempersembahkan layang-layang raksasa berbentuk buaya.

“Layang-layang ini adalah sepanjang 30 meter panjang dan agak sukar juga untuk menaikannya kerana bukan sahaja memerlukan angin yang kuat tetapi juga konsisten sepanjang masa menerbangkannya.

“Saya harap layang-layang saya akan mampu diterbangkan setiap masa kerana saya mahu ia sentiasa menghiburkan sesiapa sahaja yang datang ke sini,” katanya.

Bagi peserta dari Syiria, Andreas Malandi, 61, beliau menerbangkan layang-layang berbentuk ‘hati’ sebagai tanda kasih-sayangnya kepada isteri tercinta.

“Layang-layang berbentuk ‘hati’ ini juga adalah sebagai tanda kerinduan saya pada isteri yang kini berada 8,000 kilometer jauhnya iaitu di Vienna, Austria kerana kami sudah menetap di sana.

“Saya juga sudah bersara dan kini boleh dikatakan menjadi pelayang sepenuh masa. Sejujurnya, saya sudah menyertai FLLSPG ini sejak tujuh tahun lalu,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor