LEBIH 200 MERIAHKAN MANGROVE RUN 2023


Seramai 250 orang memeriahkan Mangrove Run 2023 anjuran Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) bertempat di Taman Negara Johor Tanjung Piai, dekat Pontian.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 250 orang memeriahkan Mangrove Run 2023 anjuran Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) bertempat di Taman Negara Johor Tanjung Piai, dekat Pontian, hari ini.

 

Hadir menyempurnakan perasmian adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar.

 

Pengarah PTNJ, Taufik Bahar berkata, Mangrove Run 2023 melibatkan kategori 5 kilometer Fun Run dan 3 kilometer Fun Walk dianjurkan bersempena sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia yang disambut setiap tahun, pada 2 Februari.

 

“Penglibatan lebih 200 orang ini terdiri daripada orang awam dan pelajar sekolah menengah, sekolah rendah, kanak-kanak tadika sekitar Zon Kukup dan para sukarelawan.

 

“Antara pengisian program adalah taklimat berkenaan sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia, pameran agensi berkaitan, aktiviti semaian benih pokok bakau, pertandingan mewarna dan fotografi.

 

“Objektif penganjuran program ini adalah untuk memberi kesedaran awam terhadap sambutan tahunan Hari Tanah Lembap Sedunia tentang kepentingan ekosistem bakau,” katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, program tersebut dapat mempromosikan dan menarik minat pelancong dalam serta luar negara untuk melawat Taman Negara Johor Tanjung Piai.

 

“Melalui program ini juga, tourism-sport membantu menaikkan ekonomi peniaga-peniaga tempatan dan memberi limpahan ekonomi daripada kunjungan peserta yang hadir,” katanya.

 

Mangrove Run 2023 dianjurkan dengan kerjasama Kelab Olahraga Alpha bersama rakan strategi terdiri daripada Tourism Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Smart Healthy City and Communities serta Majlis Perbandaran Pontian.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor