TINGGAL 8 PPS BEROPERASI, MANGSA BANJIR BERKURANGAN


Jumlah mangsa banjir di Negeri Johor, terus menunjukkan trend penurunan setakat jam 2 petang, dengan hanya 931 orang daripada 266 keluarga masih berada di lapan PPS.

 

ISKANDAR PUTERI — Jumlah mangsa banjir di Negeri Johor, terus menunjukkan trend penurunan setakat jam 2 petang.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah terkini mangsa yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) adalah 931 orang daripada 266 keluarga.

 

Menurutnya, angka tersebut menyaksikan sedikit penurunan berbanding 936 orang daripada 267 keluarga jam 12 tengah hari tadi.

 

“Jumlah PPS yang beroperasi kini tinggal lapan sahaja selepas satu PPS telah ditutup iaitu Balairaya Kampung Kuala Paya di Segamat berbanding sebelum ini sembilan PPS.

 

“Selain itu, PPS terakhir di Kota Tinggi iaitu Balairaya Kampung Perpat menempatkan 41 orang daripada enam keluarga telah ditutup tengah hari tadi, sekali gus banjir di daerah tersebut pulih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, setakat ini, enam PPS masih beroperasi di Batu Pahat menempatkan 873 orang daripada 247 keluarga.

 

Manakala di Segamat pula, dua PPS masih beroperasi menempatkan 58 orang daripada 19 keluarga.

 

Setakat jam 2 petang juga, tiada amaran ribut petir dan hujan lebat berterusan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

 

Jabatan Pengairan dan Saliran pula memaklumkan hanya sub-lembangan Sungai Bekok menunjukkan trend meningkat iaitu di aras Bahaya.

 

Selain itu, hanya dua laluan masih ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Tanah Abang / Selekoh Pertama Tanah Abang (J228) di Mersing dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor