EMPAT PBT ‘THE GREATER JB’ TANDATANGANI MOU BERSAMA DECCO+


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di dalam lingkungan ‘The Greater Johor Bahru’ dengan Persatuan Profesional Johor (DECCO+) | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di dalam lingkungan ‘The Greater Johor Bahru’ dengan Persatuan Profesional Johor (DECCO+).

 

Empat PBT terbabit adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

 

Menurutnya, menerusi kerjasama tersebut, DECCO+ akan berkolaborasi, menambah nilai serta menyumbang idea kepada PBT dalam usaha memacu pembangunan setempat agar menjadi setaraf dengan bandar-bandar maju di negara lain.

 

“Hasil usahasama ini juga dapat membantu membawa transformasi kepada perkhidmatan dan pentadbiran PBT yang akan memberi impak positif kepada rakyat, selain menyerlahkan lagi potensi setiap kawasan di bawah The Greater JB.

 

“Ini termasuk memaksimakan kapasiti Johor Bahru sebagai hab perdagangan dan perniagaan serta pintu sempadan antarabangsa negara; Iskandar Puteri sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Johor, hab pendidikan, pelaburan dan pelancongan antarabangsa; Pasir Gudang sebagai hab industri berat serta pelabuhan antarabangsa; dan Kulai sebagai bandar industri moden serta pintu gerbang udara negeri ini,” katanya.

 

Onn Hafiz berkata, kerjasama itu akan memastikan keseragaman dan kelancaran pembangunan yang akan dikendalikan oleh MBJB , MBIP, MBPG dan MPKu

 

“Ini termasuk mengambil maklum akan perkara-perkara penting lain dalam pembangunan sesebuah kawasan seperti isu pembersihan, infrastruktur awam yang efisien dan sebagainya.

 

“Kesan limpahannya pula sudah tentu bukan sahaja menjadikan The Greater JB sebagai tempat tumpuan ekonomi dan orang ramai, malah kemajuan yang dikecapi akan menyumbang kepada kualiti kehidupan dan kesejahteraan Bangsa Johor untuk masa akan datang,” katanya.

 

DECCO+ terdiri daripada sembilan persatuan iaitu Persatuan Arkitek Malaysia Southern Chapter (PAMSo); Real Estate & Housing Developers’ Association (REHDA); Institution of Engineers Malaysia Southern Branch (IEMSB); Johor Master Builders Association (JMBA); Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM); Malaysian Institute of Planners (MIP); Institute of Landscape Architects Malaysia (ILAM); Persatuan Arborist Malaysia (PArM); serta Association of Consulting Architects Malaysia (ACAM).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor