LETAK RIZAB ORANG ASLI DI BAWAH ‘SULTANATE LAND’ : SULTAN JOHOR


DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa apabila terdapat segelintir Orang Asli membuka kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.

 

Baginda Tuanku Sultan bertitah, percaya ada pihak luar yang menjadi dalang dalam hal tersebut dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan.

 

“Malah ada juga yang cuba menuntut ‘kawasan rayau’ yang tidak masuk akal. Kalau hendak diikutkan, semua yang ada di dalam Dewan ini pun banyak tempat merayau.

 

“Suka saya ingatkan walaupun kedudukan Orang Asli dilindungi oleh Perlembagaan, mereka juga wajib patuh kepada undang-undang yang ada. Pencerobohan hutan adalah salah dan Orang Asli juga tidak terkecuali,” titah Sultan Ibrahim pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Sultan Johor bertitah, kerajaan mesti tegas dalam tindakan yang diambil dan membuat pemantauan secara berterusan untuk menjaga khazanah hutan serta melindungi hidupan liar.

 

“Saya menggesa kepada kerajaan supaya meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah ‘Sultanate Land’ supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.

 

“Jangan sampai ‘Pisang Berbuah Dua Kali’, mengulangi kesilapan dahulu seperti kes Orang Asli di Bekok,” titah baginda Tuanku Sultan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor