LIMA DAERAH TERJEJAS, ANGKA MANGSA BANJIR BERTAMBAH


Situasi banjir di Negeri Johor menyaksikan lima daerah terjejas dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada lebih 3,000 orang yang ditempatkan di 35 PPS | Sumber gambar Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jumlah mangsa banjir di Negeri Johor melonjak kepada lebih 3,000 orang susulan lima daerah terjejas setakat ini.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam laporan jam 8 pagi memaklumkan dua daerah terbaru yang terjejas adalah Mersing dan Batu Pahat, selepas tiga daerah terdahulu iaitu Kota Tinggi, Kluang serta Segamat.

 

Sebanyak 1,014 keluarga terdiri daripada 3,612 penduduk telah direkodkan terjejas di lima daerah terbabit yang ditempatkan di 35 pusat pemindahan sementara (PPS).

 

Daripada jumlah keseluruhan PPS, enam PPS dibuka di Kota Tinggi diikuti Kluang (11), Segamat (13), Mersing (4) dan Batu Pahat (1).

 

Empat PPS baharu dibuka di Kota Tinggi iaitu SK Bandar Penawar, SK Gembut, SK Telok Hutan Lesung dan Balairaya Kampung Perpat.

 

Di Kluang, lima PPS baharu beroperasi iaitu Dewan SMK Sultan Abdul Jalil, Dewan Pusat Banjir JAKOA, Balairaya Batu 6 Kampung Sri Lalang, SMK Kahang dan Balairaya Kampung Melayu Batu 4 Paloh.

 

Daerah Segamat pula menyaksikan lima PPS baharu dibuka iaitu Balairaya Kampung Sekijang, Dewan Komuniti Tasek, Balairaya Kampung Sungai Lenek, Dewan Serbaguna Chaah serta SK Sri Bali Chaah.

 

Manakala daerah baharu yang terjejas iaitu Mersing menyaksikan empat PPS dibuka dan beroperasi iaitu Politeknik Mersing, Kompleks Taman Negara Endau Rompin, SK Tenglu serta SK Air Papan sementara Dewan Orang Ramai Kampung Parit Haji Kamisan di Batu Pahat.

 

Tiga sungai berada pada aras Bahaya iaitu Sungai Muar di Muara Sungai Gemas, Sungai Segamat di Segamat Kecil dan Sungai Kahang di Kampung Contoh.

 

Selain itu, enam sungai di aras Waspada iaitu Sungai Segamat, Sungai Muar di Kampung Awat, Parit Tengah, Sungai Pontian Besar, Sungai Endau dan Sungai Batu Pahat.

Empat laluan ditutup untuk semua kenderaan melibatkan Jalan Utama Johor Bahru-Endau dan Jalan Jemaluang-Batu Pahat di Mersing; Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi; Jalan Senai-Gemas dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat serta Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor