BANJIR JOHOR : TIGA PPS BAHARU DIBUKA, BEROPERASI


Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi, Kluang dan Segamat menunjukkan peningkatan dengan keseluruhan 16 PPS beroperasi setakat ini | Sumber Gambar Facebook Apm Kluang.

 

ISKANDAR PUTERI — Tiga lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) baharu dibuka di daerah Kluang dan Kota Tinggi bagi menempatkan tambahan mangsa banjir.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam laporan jam 8 malam memaklumkan tiga PPS tersebut adalah Balairaya Kampung Bentong dan Balairaya Kampung Muhibbah Paloh di Kluang serta Dewan Muafakat Taman Desaru Utama di Kota Tinggi.

 

PPS Balairaya Kampung Bentong menempatkan enam keluarga dan 21 penduduk dari Kampung Bentong sementara PPS Balairaya Kampung Muhibbah Paloh menempatkan empat keluarga dan 10 penduduk dari Kampung Muhibbah Paloh.

 

Manakala PPS Dewan Muafakat Taman Desaru Utama pula dibuka bagi menempatkan 34 keluarga terdiri daripada 131 penduduk dari Taman Desaru Utama.

 

Setakat ini, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan kepada 469 keluarga terdiri daripada 1,703 penduduk di tiga daerah iaitu Kota Tinggi, Kluang dan Segamat dengan keseluruhan 16 PPS beroperasi.

 

Sebanyak lapan PPS dibuka di Segamat diikuti enam PPS di Kluang dan dua PPS di Kota Tinggi bagi memberikan perlindungan sementara kepada mangsa banjir di ketiga-tiga daerah buat masa ini.

 

Selain itu, tiga laluan ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi serta Jalan Senai-Gemas dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat.

 

Di Mersing pula, Jalan Utama Johor Bahru-Endau dibuka untuk satu lorong sementara Jalan Jemaluang-Batu Pahat ditutup untuk kenderaan ringan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor