MAJLIS PERSARAAN DATO’ AMRAN A. RAHMAN


Sekitar Majlis Persaraan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Johor Holdings Sdn Bhd (YPJ) di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar.

 

MUHAMAD SYAFIQ MOHD TAYEB

 

ISKANDAR PUTERI — Selepas hampir 35 tahun menabur bakti berkhidmat bersama Kerajaan Negeri Johor, kini Dato’ Amran A. Rahman menamatkan perkhidmatan apabila mula bersara secara pilihan berkuat kuasa pada 30 April lalu.

 

Amran berkata, menjadi Pegawai Tadbir Negeri Johor merupakan pengalaman yang sangat bermakna terutama dalam memimpin agama, bangsa dan Negeri Johor khususnya.

 

“Setiap tempat mempunyai cabaran dan kelebihan tersendiri mulai dari Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Yayasan Pelajaran Johor Holdings Sdn. Bhd. (YPJ).

 

“Saya sangat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai penjawat awam di Negeri Johor ini,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor, hari ini.

 

Beliau yang mula berkhidmat sejak 1988 telah menamatkan perkhidmatan terakhir sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Yayasan Pelajaran Johor Holdings Sdn. Bhd.

 

Terdahulu, majlis persaraan Amran telah diadakan di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini, pada jam 8.00 pagi tadi.

 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Hj Azmi Rohani, Pegawai Kewangan Negeri Johor YB Dato’ Salehuddin Hassan, Barisan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor dan Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor