TIADA KAITAN DENGAN STROK HABA: JKNJ


Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ). | Sumber foto: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dari Kluang tiada kaitan dengan strok haba.

 

Pengarahnya, Dr. Mohtar Pungut berkata, siasatan dijalankan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang mendapati kanak-kanak terbabit dimasukkan ke wad kerana mengalami sawan selepas demam panas sehari sebelum, dan mempunyai gejala batuk selama tiga hari.

 

“Sebab kematian telah disahkan sebagai ‘Septic Shock Secondary to Meningoencephalitis’ dan tiada kaitan dengan strok haba seperti dilaporkan dalam media,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohtar berkata, JKNJ memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

 

“Pihak JKNJ ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

 

Terdahulu, sebuah akhbar atas talian melaporkan berkenaan kes kematian seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang disyaki disebabkan strok haba di daerah Kluang, hari ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor