MASYARAKAT DISERU PRIHATIN, PEKA : EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Masyarakat diseru prihatin dan peka dengan sekeliling bagi menghindari kes penderaan kanak-kanak dari berulang.

 

EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail mahu masyarakat melaporkan kes penderaan kepada pihak polis, Pejabat Kebajikan Masyarakat yang terdekat serta ketua-ketua masyarakat dan komuniti.

 

“Talian hotline iaitu ‘Talian Kasih 15999’ yang beroperasi 24 jam sehari juga disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memudahkan orang awam melaporkan kejadian penderaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Khairin-Nisa yang juga ADUN Serom turut berduka dengan kes penderaan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang menyebabkan kematian di Batu Pahat, baru-baru ini.

 

“Saya juga dimaklumkan bahawa kes tersebut masih berada di dalam siasatan pihak berkuasa.

 

“Pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor juga sedaya upaya menangani isu penderaan kanak-kanak ini,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan kesemua lima suspek telah ditahan reman bagi tujuan siasatan lanjut dan Polis Johor mengklasifikasikan kes kematian mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor